Skip to main
Logo Malaysiakini

MP persoal penyertaan Jovian dalam rombongan Ismail Sabri

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Beberapa ahli parlimen (MP) pembangkang hari ini mempersoalkan sama ada menantu perdana menteri, Jovian Mandagie, dibawa menyertai rombongan ke Jepun menggunakan dana awam atau sebaliknya.

Gesaan itu hadir selepas Jovian dilihat ada bersama Ismail Sabri Yaakob ketika naib presiden Umno terbabit mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Itabashi, Takeshi Sakamoto, di Tokyo.

Imej pertemuan itu dimuat naik oleh agensi berita nasional, Bernama, melalui akaun Twitter mereka pada 24 Mei lalu.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil mendesak penjelasan diberikan kepada rakyat, bagaimana Jovian membayar perbelanjaan perjalanannya ke Jepun.

"Saya fikir rakyat berhak tahu sama ada Jovian pergi ke Jepun menggunakan wang kerajaan atau wang sendiri.

"Kalau dia menggunakan dana negara, adakah ahli keluarga perdana menteri layak, atau memang ada susunan tertentu?

"Adakah ia dibenarkan undang-undang?" katanya.

Gesaan sama turut dibuat Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching yang menegaskan sehingga kini belum ada penjelasan dibuat kepada pembayar cukai mengenai kunjungan dilakukan Jovian.

"Tidak ada sebab mengapa pembayar cukai perlu membiayai penerbangan dan kemudahan lain Jovian di Jepun," katanya.

Harap tak ulangi

Penyertaan Jovian dalam rombongan Ismail Sabri tidak disenangi sesetengah pihak dan warganet mendakwa dia menjadi penasihat tatarias perdana menteri sesuai dengan kerjayanya sebagai pereka fesyen.

Kunjungan Ismail Sabri ke Jepun juga menarik perhatian ramai apabila gambar ahli parlimen Bera itu bertemu rakan sejawatnya dari Singapura di Tokyo sehari kemudian dirakamkan dengan pakaian yang didakwa mewah.

Warganet mendakwa kemeja hitam, biru dan putih dipakai Ismail Sabri itu adalah jenama terkenal British, Burberry. Menurut laman sesawang Burberry Malaysia, harga baju berkenaan ialah RM5,500 sehelai.

Mengulas mengenai penampilan tersebut Fahmi berkata perdana menteri berhak memakai apa saja baju yang dimahukannya, tetapi ia juga mencipta persepsi yang menunjukkan ahli politik terbabit sebenarnya tidak memahami sentimen semasa rakyat.

"Saya seboleh-bolehnya tak mahu membayangkan Jovian berperanan memilih baju yang dipakai Ismail Sabri," katanya.

Fahmi juga berkata selain Ismail Sabri, isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor juga dikenali ramai gemar menggunakan beg tangan berjenama mahal.

"Betul, perdana menteri boleh memakai apa yang dia mahu tetapi kalau kita masih ingat, Rosmah dulu selalu dilihat bersama beg-beg tangan yang mahal.

"Rosmah juga berhak menggunakan beg tangan itu tetapi ia menjadikan dia dilihat sama sekali tidak memahami keadaan semasa rakyat.

"Saya harap Ismail Sabri tidak mengulangi kesilapan itu," katanya.

Bagi Teo pula, dia percaya pemilihan pakaian oleh Ismail Sabri itu memberi kesan negatif kepadanya.

“Kadar gaji minimum di negara ini ialah RM1,500 sebulan. Walaupun gaji perdana menteri cukup tinggi untuk dia membeli baju Burberry RM5,500, itu tidak mencerminkan keadaan dirinya.

“Selepas 1MDB, Malaysia tidak memerlukan lagi pemimpin tertinggi yang terkenal memakai barangan berjenama,” katanya.

[Baca berita penuh]