Skip to main
Logo Malaysiakini

Rafizi sapu bersih Melaka, Shamsul tewas ketua cabang PKR

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PEMILIHAN PKR | Keputusan awal menunjukkan Rafizi Ramli menyapu bersih undi di semua cabang menentang pesaingnya Saifuddin Nasution Ismail dalam perebutan jawatan timbalan presiden parti.

Secara keseluruhan, bekas ahli parlimen Pandan itu memenangi 2,427 undi berbanding Saifuddin 1,468 undi di negeri itu, menurut sumber parti.

Dalam konteks yang lebih luas, kemenangan ini hanyalah satu penanda, bukan satu penentu, kerana Melaka negeri yang lebih kecil.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar, yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, telah dikalahkan oleh Md Rafee Ibrahim dalam perebutan ketua cabang.

Di Masjid Tanah, seorang lagi orang kuat parti Halim Bachik menang dengan hanya empat undi ke atas lawannya Amran Othman, manakala Ginie Lim yang digugurkan sebagai calon oleh parti itu atas dakwaan hubungannya dengan kem Azmin Ali, menang di Alor Gajah.

Selain kedudukan selesa Rafizi, persaingan lebih sengit antara Fahdlina Sidek dan Rodziah Ismail - yang menang tiga cabang dan tewas dalam tiga cabang dalam perebutan ketua wanita PKR.

Bagi pemilihan ketua pemuda PKR (AMK), Adam Adli menang empat cabang berbanding Fahmi Zainol yang menang dua cabang di negeri itu.

Rodziah dan Fahmi sebahagian daripada kem Rafizi.

Dalam satu kenyataan berasingan, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR Dr Zaliha Mustafa berkata pengundian telah selesai berikutan beberapa pemilihan semula di 12 bahagian di Kelantan, Kedah, Terengganu, Selangor dan Sabah.

Katanya, keputusan tidak rasmi akan disiarkan di laman web parti sepanjang hari ini.

"Keputusan yang dikeluarkan termasuk pertandingan di mana aduan dan bantahan telah didaftarkan dengan jawatankuasa pemilihan dan siasatan sedang dijalankan," katanya.

Tambahnya, keputusan rasmi akan diumumkan pada Kongres PKR akan diadakan pada 25 dan 26 Jun ini.