Skip to main
Logo Malaysiakini

Farhash gesa audit forensik lepas kalah di Gombak

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PEMILIHAN PKR | Calon yang kalah secara tidak rasmi dalam persaingan merebut jawatan ketua cabang PKR Gombak Farhash Wafa Salvador Murbarak menggesa dilakukan audit forensik terhadap proses pemilihan PKR kali ini.

Farhash yang tewas kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bagi jawatan berkenaan turut menuntut badan bebas yang dipersetujui semua pihak untuk meneliti dakwaannya.

"Setelah meneliti keputusan tidak rasmi Pemilihan PKR 2022 yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) sebentar tadi, saya ingin menyatakan keraguan yang amat tinggi terhadap ketelusan dan kebenaran keputusan yang dikeluarkan itu.

"Pihak saya mempunyai bukti dan dokumentasi yang kukuh untuk menyatakan bantahan rasmi, dengan gesaan untuk parti menjalankan satu audit forensik terhadap sistem keputusan dan kaedah-kaedah perlaksanaannya.

"Bantahan kami adalah terhadap keputusan undian fizikal dan juga pengundian atas talian (PAT) yang mana kami dapati keputusan bagi Cabang Gombak adalah tidak munasabah, berbanding kehadiran penyokong kami secara fizikal dan juga pengundian atas talian yang kami rekodkan," dakwa Farhash.

Farhash memperolehi 1,215 undi lantas kecundang di tangan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang meraih 1,858 undi.

Pun begitu, Farhash menggesa sebuah badan bebas yang dipersetujui semua pihak untuk menyediakan laporan forensik bagi memeriksa pengundian dalam talian dan fizikal.

"Saya berharap pihak JPP dan pimpinan parti mengambil tindakan sewajarnya dan membetulkan keadaan sekiranya terbukti sistem pemilihan dan keputusan telah dikompromi," katanya.

Untuk rekod, bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali menang kerusi parlimen Gombak dalam tiga pilihan raya lepas.

Azmin berpaling tadah keluar PKR dalam Langkah Sheraton dan meruntuhkan kerajaan PH yang mendapat mandat melalui PRU14 lalu.

Amiruddin tidak mengikut langkah Azmin, sebaliknya kekal sebagai menteri besar Selangor tetapi cabaran Farhash dilihat sebagai langkah untuk memaksanya keluar.

‘Jumlah undi lebih dari jumlah undi berdaftar’

Sementara itu, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail turut membangkitkan rasa tidak puas hati terhadap pemilihan PKR tahun ini dan menyatakan banyak keputusan meragukan.

"Contohnya, ada cabang yang jumlah pengundi yang dikira, termasuk undi ragu, berkurang dari jumlah pengundi.

“Lebih meragukan, ada cabang di mana jumlah undi yang dikira pula melebihi jumlah pengundi yang berdaftar.

"Banyak sekali cabang di mana data perkiraan undi calon-calon berdasarkan ahli-ahli mengundi yang direkodkan sebagai penyokong mereka, berlainan sekali dengan apa yang dipamerkan dalam keputusan tidak rasmi yang mula dikeluarkan JPP hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Malah katanya, pengundi jumlah fizikal yang direkodkan banyak bercanggah dengan apa yang dipamerkan dalam keputusan tidak rasmi.

"Perkara-perkara sebegini menimbulkan keraguan yang amat tinggi terhadap sistem ADIL yang digunapakai dalam Pemilihan parti kali ini dan lebih merisaukan calon-calon adalah persoalan sama ada sistem ini telah terkompromi atau dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu," katanya.