Skip to main
Logo Malaysiakini

Saifuddin ucap tahniah pada Rafizi, hormat keputusan pemilihan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Calon timbalan presiden PKR, Saifuddin Nasution Ismail mengucapkan tahniah kepada pencabarnya Rafizi Ramli yang secara tidak rasmi diumumkan sebagai pemenang bagi jawatan berkenaan.

"Biarpun belum dikira keputusan rasmi, namun saya telah mengutus ucap tahniah kepada Rafizi Ramli, Nik Nazmi, Chang Li Kang dan lain-lain pemenang.

"Sikap saya mudah dan jelas. Hormat keputusan yang dibuat oleh anggota-anggota parti. Amalan demokrasi menentukan ada yang terpilih dan ada yang tidak. Jangan sesekali carikkan silaturrahmi.

“Sentiasa jaga perpaduan sesama anggota parti. Insha Allah Keadilan akan terus kuat," katanya dalam satu kenyataan.

Saifuddin, yang merupakan penyandang setiausaha agung PKR, berkata tumpuannya kini adalah untuk memastikan kongres nasional parti pada Jun ini berjalan lancar, di mana keputusan pemilihan akan diumumkan secara rasmi.

"Sekitar 3,000 perwakilan akan memilih 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat. Selesai proses ini Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku presiden akan mempunyai satu barisan kepimpinan yang lengkap. Tugas saya bernoktah di situ.

“Tugas seterusnya, kepimpinan baru mempersiap parti mendepani PRU15,” katanya.

Jawatankuasa pemilihan pusat PKR mengumumkan keputusan tidak rasmi pemilihan parti itu hari ini.

Setakat 8.30 malam, keputusan untuk semua negeri dan wilayah persekutuan telah diumumkan kecuali Sarawak.

Saifuddin menang di Perlis dan Sabah manakala Rafizi menang di negeri-negeri selebihnya, termasuk di Selangor.

Setakat berita ini ditulis, Rafizi memperoleh 67,895 undi berbanding Saifuddin yang meraih 48,797 undi.

Perbezaan 19,098 undi itu dikira cukup besar dan jumlah undi di Sarawak sendiri tidak memadai untuk mengubah keputusan yang berpihak kepada Rafizi.

Bagi perebutan jawatan naib presiden pula dimenangi oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (52,304 undi); Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang (40,280 undi;, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad (39,572 undi) dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun (38,114 undi).

Amirudin menyokong kem Saifuddin manakala Nik Nazmi, Chang dan Aminuddin bersama dalam kem Rafizi.