'Pejuang akan tanding di semua kerusi Bersatu'
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengesahkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang meskipun pengerusi partinya memaklumkan telah menarik diri daripada bertanding.
Presidennya, Mukhriz Mahathir berkata, Pejuang juga akan mempertahankan semua kerusi yang dimenangi mereka atas tiket Bersatu pada PRU ke 14 lalu.
Bagaimanapun, kata Mukhriz pihaknya masih mengenal pasti calon-calon yang layak bagi bertanding kerusi berkenaan.
“Tentu (Pejuang akan pertahankan kerusi Parlimen Langkawi), kami akan akan pertahankan semua kerusi-kerusi yang telah dimenangi (atas tiket Bersatu sebelum ini) dan yang belum dimenangi.
“Soal calon pula belum dinilai. Kita tunggu dan lihat,” tegas Mukhriz kepada pemberita selepas sesi perjumpaan wakil dan waris penduduk Kampung Sungai Baru, semalam.
Bagaimanapun Mukhriz berkata, mengambil kira keputusan pilihan raya negeri (PRN) Johor Mac lalu, Pejuang akan mengukur baju di badan sendiri terlebih dahulu.
“Selepas kejadian di (PRN) Johor, kami memang sangat-sangat fahamlah yang kita kena ukur baju di badan sendiri.
“Kekuatan kita macam mana, daripada segi keahlian, daripada segi jentera, daripada segi calon yang terbaik serta kesesuaian untuk kita bertanding di satu-satu kwasan.
“Jadi, semua itu sedang dipertimbangkan dan daripada segi jumlahnya belum kita tetapkan lagi tapi yakinlah ia akan jadi jadi satu jumlah yang kita rasa setimpal dan sesuai dengan sebuah parti seperti kami ini,” katanya.
Mengulas soal kerjasama dengan parti lain, Mukhriz berkata Pejuang sentiasa terbuka dan bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan siapa saja.
“Kita bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa saja dan tak semestinya parti politik, ia termasuk NGO sebenarnya, asalkan mereka juga berpegang teguh kepada prinsip-prinsip kami iaiu mesti bebas daripada kleptokrasi, salah guna kuasa, dan sebagainya,” katanya.
Mukhriz berkata pihaknya juga telah berjumpa dengan beberapa parti dalam soal kerjasama terbabit.
“Saya akui bahawa kita di sebalik tabir memang berjumpa dengan banyak parti, baik kerajaan mahupun pembangkang dan yang bukan kedua-duannya.
“Parti yang sebelum ini tak bertanding pun kita adakan pertemuan dan kita cuba cari di mana titik persamaan yang mana kita boleh bersama menghadapi PRU,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai