Skip to main
Logo Malaysiakini

Juwairiya: Wanita PKR inklusif, tiada siapa pun 'tercicir'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Timbalan Ketua Wanita PKR yang baru dipilih Juwairiya Zulkifli memberi jaminan bahawa kepimpinan baru sayap parti itu akan bersifat inklusif dan mendengar suara wanita di lapangan, tanpa meninggalkan sesiapa pun dalam proses ini.

Juwairiya (gambar judul, atas), yang juga Adun Bukit Melawati, memberitahu Malaysiakini agenda pemerkasaan wanita penting untuk dilaksanakan di negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan Harapan.

Dalam pemilihan tidak rasmi baru-baru ini, Adun Batu Tiga Rodziah Ismail menewaskan Senator Fadhlina Sidek dalam pertandingan sempit untuk jawatan tertinggi sayap itu.

Rodziah menang 21,962 undi berbanding Fadhlina 21,502 undi.

Rodziah (gambar, bawah) bersekutu dengan bekas ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli, yang menang timbalan presiden parti semalam.

Bagaimanapun, calon yang ditandingi Rafizi, Napsiah Khamis tewas kepada Juwairiya dalam pertandingan tiga penjuru untuk jawatan timbalan wanita yang turut melibatkan Faizah Ariffin.

Juwairiya berjaya meraih 17,743 undi manakala Napsiah dan Faizah masing-masing memperoleh 14,282 dan 11,071 undi.

"Saya gementar mengenai keputusan kerana saya bertanding sebagai calon bebas."

“Tetapi saya bekerja keras, berkempen dan bertemu wanita dari semua negeri,” kata Juwairiya, yang berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Tiga calon naib ketua wanita yang menang ialah S Wasanthee, Ahli Parlimen Hulu Selangor June Leow dan Sangetha Jayakumar.

Sangeta berjaya memperoleh undi yang mencukupi walaupun bapanya Dr Xavier Jayakumar telah berpaling tadah daripada PKR untuk menyokong pentadbiran yang memerintah ketika itu bawah Muhyiddin Yasin pada tahun lepas.

Napsiah (gambar, atas) yang bertanding melalui kem Rafizi, berkata dia gembira kerana Rafizi dan Rodziah berjaya menang dalam pemilihan kali ini.

Pun begitu, kata Napsiah kekalahannya sendiri kerana sukar untuk bersaing bersaing dengan setiausaha politik pemimpin kerajaan negeri itu.

“Saya menang di banyak negeri tetapi disebabkan Selangor negeri yang besar (dengan ramai perwakilan), saya akhirnya tewas.

“Saya sudah jangka Rafizi dan Rodziah menang kerana rakyat mahukan perubahan selepas empat kali PKR kalah dalam pilihan raya negeri (di Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor).

“Bagaimanapun, dengan kepimpinan baru ini, kami yakin akan wujud gelombang sokongan baru dalam memperjuangkan keadilan,” kata Napsiah yang optimis parti itu mampu menarik pengundi baru.

[Baca berita asal]