KJ anggap Rafizi paling berbakat, Azmin utus tahniah buat Amirudin
Kejayaan Rafizi Ramli memenangi jawatan timbalan presiden PKR bukan saja dialu-alukan oleh penyokongnya, malah pemimpin seteru politik parti berkenaan.
Antaranya ialah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Tidak saja mengucapkan tahniah, Khairy yang juga bekas ketua Pemuda Umno memberikan pujian tersendiri kepada Rafizi apabila menganggap bekas ahli parlimen Pandan itu sebagai ahli politik yang amat berbakat besar.
"Tahniah Rafizi Ramli kerana menang jawatan timbalan presiden PKR dan selamat kembali aktif berpolitik.
"Saya selalu mengatakan bahawa anda adalah ahli politik paling berbakat dalam generasi kita dan (saya) mendoakan yang terbaik untuk anda," tulis Khairy di media sosialnya hari ini.
Untuk rekod, di luar persaingan politik ke partian Khairy, Rafizi dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, dianggap berkawan baik dan sesekali mereka bertemu lalu menarik perhatian ramai.
Rafizi berjaya memenangi jawatan timbalan presiden PKR dengan mengetepikan pencabarnya, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.
Bagaimanapun keputusan rasmi mengenai pemilihan itu belum diumumkan.
Semalam, Saifuddin mengucapkan tahniah kepada Rafizi ketika keputusan tidak rasmi menunjukkan bekas naib presiden PKR itu terus mendahului di seluruh negara.
Berdasarkan undi yang dikira sehingga jam 8.30 malam tadi Rafizi kini memperoleh 67,895 undi, meninggalkan Saifuddin dengan perbezaan 17,283 undi.
Sementara itu, bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali pula mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari kerana memenangi jawatan naib presiden PKR dan ketua cabang Gombak.
Dalam ciapan di Twitternya semalam, Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, dia berharap agar persefahaman akan terus membawa ke arah kebaikan.
“Tahniah Amirudin kerana terpilih. Semoga persefahaman akan terus membawa kebaikan,” katanya dalam satu hantaran Twitter.
Amirudin mempertahankan kerusi Ketua Cabang Gombak pada Pemilihan PKR 2022 selepas menewaskan pencabar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai