Skip to main
Logo Malaysiakini

Apandi rayu kes saman terhadap Lim

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali merayu ke Mahkamah Rayuan selepas kalah kes saman fitnah terhadap veteran DAP Lim Kit Siang.

Peguam bekas peguam tertinggi kerajaan M Visvanathan hari ini mengesahkan notis rayuan telah difailkan selepas penolakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap saman sivil itu.

"Kami telah memfailkan rayuan pada 24 Mei 2022. (Notis Rayuan telah) disampaikan dengan sewajarnya kepada peguam cara untuk defendan (Lim)," kata Visvanathan ketika dihubungi.

Peguam Lim Sangeet Kaur Deo juga mengesahkan bahawa Apandi telah membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan.

Pada 23 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah RM10 juta Apandi terhadap veteran DAP itu berhubung artikel pada 2019 "Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity”, yang diterbitkan di blognya.

Hakim Azimah Omar memutuskan Lim mempunyai justifikasi dalam membuat kenyataannya menggesa Apandi menjelaskan alasannya membebaskan perdana menteri Najib Razak daripada kes 1MDB pada 2016.

Hakim itu antara lain menyatakan bahawa Lim wajar membangkitkan isu itu, terutamanya berikutan bekas perdana menteri Najib telah disabitkan oleh Mahkamah Tinggi berasingan pada 2020 dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.

Azimah menyatakan bahawa sabitan Najib terus dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan tahun lepas.

Mahkamah juga mengarahkan Apandi membayar RM80,000 kos guaman kepada Lim.

Pada 5 Julai 2019, Apandi memfailkan saman sivil, mendakwa bahawa pada 6 Mei 2019, Lim telah menulis artikel yang didakwa berunsur fitnah.

Apandi mendakwa artikel itu antara lain membayangkan bahawa dia terlibat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika, dan telah menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi peguam negara dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018.

Azimah menyatakan bahawa artikel Lim tidak mengaitkan Apandi bersalah atas salah guna kuasa.

Hakim berkata Lim hanya mengatakan bahawa terdapat alasan lanjut untuk siasatan berhubung perkara itu dan pihak yang dinamakan dalam kenyataan akhbar Apandi untuk tampil menjelaskan urus niaga di luar kelaziman itu.

Azimah juga menegaskan Najib didakwa di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

“Defendan telah berjaya membuktikan justifikasi ke atas imbangan kebarangkalian. Bagi mahkamah, penghakiman Nazlan masih kekal seperti yang disahkan oleh Mahkamah Rayuan,” katanya.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ialah hakim Mahkamah Tinggi yang mendapati Najib bersalah dalam kes SRC.

[Baca berita asal]