Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Reformasi’ harus dipraktikkan dalam PKR sendiri - Farhash

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tidak berpuas hati dengan keputusan Pemilihan PKR 2022, calon naib presiden yang tewas, Farhash Wafa Salvador meminta supaya Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengambil serius pandangan mereka yang mengemukakan bantahan terhadap keraguan keputusan itu.

“Saya amat berharap pihak JPP dan parti mengambil serius pandangan-pandangan ramai calon-calon yang telah mengemukakan bantahan secara rasmi dan mengambilkira cadangan-cadangan untuk penambahbaikan.

“Jika kita melaungkan ‘reformasi’, ia haruslah dipraktikkan dalam parti kita sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain jawatan naib presiden, Farhash turut mencabar Amirudin Shari yang adalah Pengerusi PKR Selangor dan Menteri Besar untuk jawatan ketua bahagian Gombak tetapi juga tewas.

Menurutnya, bantahan selepas keputusan tidak rasmi disiarkan pada Ahad lalu bukan sahaja disuarakan dari pihaknya tetapi juga oleh ramai calon yang bertanding.

“Ini bukan soal tidak berlapang dada menerima kekalahan, tetapi persoalannya ada berbangkit keraguan atas kemungkinan sistem dan mekanisme pemilihan parti ini telah dikompromi dan berlakunya manipulasi oleh pihak-pihak tertentu.

“Jika dilihat secara kasar pun persoalan terhadap sistem pengundi atas talian (PAT) sudah mendedahkan satu mekanisme dan prosedur yang diragui ketelusannya.

“Di sini, semua undi dikumpul dan dikira oleh JPP yang terdiri dari ahli-ahli parti, lalu diumumkan, tanpa sebarang check and balance,” katanya.

Dua hari lalu, Farhash yang adalah juga bekas pembantu kepada presiden PKR, Anwar Ibrahim menggesa audit forensik dilakukan terhadap proses pemilihan PKR kali ini dan menuntut badan bebas yang dipersetujui semua pihak untuk meneliti dakwaannya.

Farhash turut menekankan beberapa kelemahan berhubung proses keputusan tersebut, di antaranya kelewatan pengumuman keputusan.

Dia juga mengesyorkan supaya pertikaian-pertikaian yang dibangkitkan tidak berulang pada pemilihan yang akan datang, manakala aplikasi-aplikasi yang digunakan untuk pemilihan tersebut dikendalikan oleh entiti bebas.

Selain itu, katanya, proses kiraan undi sepatutnya dilakukan dengan lebih terbuka, dengan ana keputusan disiarkan secara langsung.

“Kelewatan pengumuman keputusan sehingga beberapa hari selepas pemilihan sedangkan pengundian atas talian sepatutnya lebih memudahkan dan mempercepatkan proses, juga mendedahkan keputusan kepada manipulasi.

“Bayangkan, dalam pilihan raya umum yang melibatkan jutaan rakyat yang mana undi dan kiraan dibuat secara fizikal sahaja pun, keputusannya boleh didapati dalam beberapa jam sahaja,” katanya.