Skip to main
Logo Malaysiakini

EU sekat minyak Rusia, harga cecah AS$120 setong

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

GLOBAL l Harga minyak mentah melonjak selepas Negara Kesatuan Eropah (EU) sepakat untuk menyekat sebahagian import Rusia sebagai sebahagian hukuman terhadap pencerobohannya ke atas Ukraine.

AFP melaporkan keputusan itu menyebabkan pasaran saham di Asia diniagakan tidak menentu dengan inflasi terus mencetuskan kebimbangan.

Harga minyak mentah Brent berada di atas AS$122 setong buat kali pertama dalam tempoh dua bulan, manakala West Texas Intermediate (WTI) berada pada sekitar AS$117 setong. Ia susulan sekatan terbaru yang akan melarang pembelian minyak Rusia yang dihantar menggunakan laut, namun ada pengecualian sementara bagi penghantaran saluran paip.

Meskipun telah dijangka, perjanjian itu terus menambah tekanan meningkat terhadap minyak mentah.

Sementara itu, Bernama melaporkan EU pada Isnin sepakat untuk mengurangkan jumlah pembelian minyak dari Rusia sebanyak 90 peratus menjelang akhir tahun ini.

Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen mengumumkan bahawa negara-negara EU pada sidang kemuncak pemimpin EU di Brussels bersetuju untuk mengenakan sekatan minyak ke atas Rusia berikutan perangnya ke atas Ukraine.

“Saya mengalu-alukan perjanjian #EUCO malam ini mengenai sekatan minyak terhadap Rusia. Ini secara berkesan akan mengurangkan kira-kira 90 peratus import minyak dari Rusia ke EU menjelang akhir tahun ini,” lapor Agensi Anadolu memetik ciapan von der Leyen di Twitter.

Presiden Majlis Eropah Charles Michel turut mengulas mengenai langkah itu.

“Perjanjian untuk mengharamkan eksport minyak Rusia ke EU. Ia meliputi lebih 2/3 import minyak dari Rusia, mengurangkan sumber pembiayaan yang besar untuk peralatan perangnya. Tekanan maksimum ke atas Rusia untuk menamatkan perang,” ciapnya di Twitter.

Cadangan itu, yang disediakan oleh Suruhanjaya Eropah kira-kira sebulan lalu, termasuk menghentikan bekalan minyak mentah dari Rusia secara berperingkat dalam tempoh enam bulan dan bekalan produk ditapis menjelang akhir tahun.

Beberapa negara anggota, terutamanya Hungary, menentang larangan import minyak. Hungary, Slovakia, dan Republik Czech diberi masa tambahan untuk mengimport minyak dari Moscow.