Mukhriz akui bincang dengan komponen PH, kecuali PKR
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengesahkan parti itu tidak akan bergerak secara solo menghadapi pilihan raya umum Ke-15 (PRU15) yang akan datang.
Presidennya, Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan secara tidak rasmi dengan beberapa parti sama ada parti dalam kerajaan, pembangkang dan parti-parti yang berkecuali.
"Kemungkinan besar kita tidak akan sertai PRU15 dengan berseorangan. Jadi kita memang dah bincang dengan beberapa parti termasuk parti kerajaan, pembangkang dan parti yang tidak menyokong mana-mana pihak (berkecuali).
"Perbincangan itu dibuat secara tidak formal dan perbincangan formal akan diadakan dalam masa terdekat. Kita terbuka untuk kerjasama ini, baik dari segi gabungan atau pakatan literal," katanya pada sidang media selepas perasmian Pemukiman Pejuang Kelantan, di kota Bharu, hari ini.
Mengulas lanjut, anggota Parlimen Jerlun itu berkata, perbincangan yang dilakukan antaranya melibatkan parti komponen PH kecuali PKR.
"Kalau ada pun perbincangan dengan anggota komponen PH, ia secara satu-satu parti bukan sekumpulan (PH).
"Setakat ini tidak ada daripada PKR, mungkin mereka masih sibuk dengan pemilihan," katanya.
Bagaimanapun tambahnya, kerjasama antara Pejuang dengan mana-mana parti untuk berdepan PRU15 belum dimuktamadkan.
Sementara itu ditanya sasaran kerusi akan dipertandingkan di Kelantan, Mukhriz berkata pihaknya memberi mandat kepada pimpinan negeri untuk mengenal pasti kerusi-kerusi yang berpotensi.
"Kami memberi keterbukaan itu kepada majlis pimpinan negeri Kelantan untuk mengenal pasti kerusi mana yang kita bersedia tawarkan calon menjelang PRU15.
“Saya serahkan kepada pimpinan Kelantan untuk kemukakan cadangan.
"Kita sudah membuat persiapan dan persiapan yang saya maksudkan dari segi jumlah ahlinya, calon yang terlatih dan yang diterima baik oleh penduduk setempat serta ada kriteria-kriteria lain,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai