Skip to main
Logo Malaysiakini

Gandingan Anwar-Rafizi bukan cabaran baru buat Umno

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Sharkar Shamsudin, menyifatkan gandingan Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim, dan bekas ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, sebagai pemimpin tertinggi PKR bukanlah cabaran baru kepada Umno.

Sebaliknya, dia berpendapat, keputusan dibuat ahli PKR memilih Rafizi sebagai timbalan presiden parti itu adalah hak mereka, dan ia bukan masalah Umno.

"Orang PKR saja yang kenal siapa itu Anwar, siapa itu Rafizi.

"Bagi kita (Umno), siapa pun menang - sama ada Rafizi atau Saifuddin (Nasution Ismail) menang, mana-mana team menang, pada kita kalau kita tidak bersama (bekerjasama) dalam pilihan raya, kita akan lawan.

"Jadi, apa saja teori yang Rafizi buat, itu teori dia dan kita hormatlah.

"Tapi ini (gandingan Anwar-Rafizi) bukanlah cabaran baru untuk kita (Umno) dan semua kita kenal dah Rafizi ini siapa," katanya.

Mohd Sharkar berkata demikian pada sidang media selepas majlis sambutan Aidilfitri anjuran Tourism Malaysia Pahang di Kuantan, petang ini.

Mohd Sharkar yang juga Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang mengakui Umno sentiasa berhati-hati dengan strategi dan kaedah yang sering digunakan Rafizi.

"Mungkin dia ada kelebihan dia, mungkin dari segi kaedah dia bergerak, strategi dan sebagainya, tapi Umno pun ada kelebihannya juga.

"Kalau tidak, takkanlah Umno daripada tak jadi kerajaan, (sekarang) jadi kerajaan, sudah tentu (strategi) kita lebih bagus dibandingkan dengan mereka.

"Kalau kita tak bijak, kalau Umno tak bijak, BN tak bijak, bagaimana kita daripada pembangkang tak sampai pilihan raya boleh jadi kerajaan?

"Apa saja strategi kita buat, kita bergaduh ke, itu adalah sebahagian daripada strategi, bergaduh dalam Umno itu adalah sebahagian daripada strategi kita untuk mengelirukan musuh.

"Musuh ingat kita bergaduh betul, tapi (sebenarnya) kita tidur sebantal mimpi pun sama," katanya.

Mohd Sharkar juga menegaskan setiap parti ada cara dan strategi masing-masing dan tidak semua strategi itu boleh didedahkan kepada orang ramai.

Katanya, rakyat sudah boleh menilai strategi pihak atau parti mana yang lebih baik dan ia boleh membantu mereka membuat pilihan sebaik sahaja pilihan raya umum diadakan.