Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Khemah besar’: Rafizi perlu bersikap pragmatik, kata penganalisis

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Rafizi Ramli yang baru diumumkan secara tidak rasmi memenangi jawatan timbalan presiden PKR tidak boleh bersikap terlalu realistik dalam strategi politiknya berhubung isu kerjasama ‘khemah besar’ dengan parti-parti pembangkang.

Penganalisis politik Azmi Hassan, berkata bekas ahli parlimen Pandan itu perlu bersikap pragmatik selepas menyandang jawatan kedua parti itu.

Azmi berpendapat sekiranya strategi ‘khemah besar’ itu tidak dapat direalisasikan, BN bakal mendapat laluan mudah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak.

“Dalam hal ini Rafizi terlampau idealistik dalam strategi politiknya dalam menolak khemah besar.

“Mahu tidak mahu, strategi berkonsep ‘khemah besar’ itu diperlukan, di mana Pakatan Harapan bersama-sama dengan kumpulan pembangkang yang lain perlu bekerjasama dalam hal ini.

“Ideologi politik itu adalah penting. Tapi seperti yang dikatakan tadi, Rafizi perlu pragmatik, tidak boleh terlampau idealistik menolak kerjasama kerana pembangkang harus berada dalam satu khemah, tidak kira pembangkang itu mempunyai perjuangan berbeza dengan PKR ataupun PH.

“Kalau konsep khemah besar itu tidak direalisasikan 100 peratus, maka BN sudah pasti mendapat laluan mudah,” katanya kepada Malaysiakini.

'Khemah besar' merupakan idea dikemukakan pemimpin kanan PH yang cuba menyatukan sebahagian parti pembangkang untuk berdepan kerajaan semasa yang dianggotai BN dan Perikatan Nasional (PN).

Bagi Rafizi, pendekatan ‘khemah besar’ adalah seperti mencari ‘khemah baru’, dan bukannya menyelesaikan masalah sedia ada.

Rafizi juga sebelum ini berpendapat PKR tidak boleh bekerjasama dengan Bersatu yang dianggap sebagai pengkhianat dalam PH, sehingga menyebabkan kerajaan PH tumbang melalui Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Perlu utamakan kepentingan parti

Bagaimanapun, Azmi yang juga bekas pensyarah kanan di Universiti Teknologi Malaysia berkata dia yakin Rafizi akan lebih pragmatik apabila memegang jawatan timbalan presiden.

“Bila memegang jawatan itu, seseorang itu perlu pragmatik, perlu lebih letak kepentingan prinsip diri sendiri tu di belakang sikit. Kena mementingkan prinsip dan ideologi kepentingan parti terlebih dahulu,” katanya.

Rafizi adalah calon timbalan presiden PKR semasa pemilihan PKR pada 2018, namun kalah tipis kepada Mohamed Azmin Ali, yang sejak itu telah berpaling tadah kepada Bersatu.

Selepas pemilihan itu, Rafizi menarik diri daripada aktiviti politik untuk fokus kepada perniagaan.

Pada pemilihan kali ini, dia menang menentang Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail.

Sementara itu, Shamsul Amri Baharuddin berkata meskipun Rafizi mendapat mandat besar daripada ahli PKR dalam pemilihan parti, dia tidak boleh melakukan banyak perubahan dalam parti itu dalam masa terdekat.

Ini kerana menurutnya Anwar Ibrahim masih mengetuai PKR dan PH.

“Uforia kemenangan Rafizi membawakan harapan baru kepada penyokong PKR, bukan kepada PH. Rakyat Malaysia terus memerhatikan gelagatnya,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Shamsul, Anwar akan secara pragmatis menerima idea Rafizi jika pandangan dilotarkan melalui perbincangan dalam PKR dan kemudian bersama rakan dalam PH.

“Rafizi anak didik Anwar. Dibesarkan dalam dunia politik bawah payung dan patronage (naungan) Anwar. Politik bersifat patronage Melayu masih sangat kuat, iaitu taat pada penaung dan pelindung,” katanya.