Skip to main
Logo Malaysiakini

Kurang kemahuan politik - RUU antigangguan seksual tunggu dua dekad

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kekurangan kemahuan politik melibatkan isu yang dilihat hanya berkaitan dengan wanita menjadi sebab utama undang-undang terhadap gangguan seksual masih terus diusahakan selama 20 tahun sejak ia pertama kali didraf.

Pengurus perkhidmatan All Women's Action Society (Awam) Lilian Kok berkata ini kerana terdapat salah tanggapan bahawa isu sebegitu tidak melibatkan orang ramai.

“Kurangnya minat politik dalam menguruskan isu wanita di negara ini.

"Apabila membawa isu di peringkat dasar, orang ramai mahu membawa isu dengan kepentingan awam yang besar.

"Dalam satu dua dekad lalu, (isu ini) telah diceritakan sebagai isu wanita, tetapi syukurlah naratif itu telah berubah dalam tempoh lima tahun lalu," kata Kok pada perbincangan panel di Kuala Lumpur pada Selasa (31 Mei).

Kok (gambar, atas) berkata perubahan itu berikutan perbincangan awam yang lebih meluas mengenai gangguan seksual dan bagaimana ia bukan sekadar isu yang memberi kesan kepada wanita.

Kepentingan diberikan kepada perkara itu oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, yang meletakkannya dalam agenda negeri dan juga menggerakkan usaha itu ke hadapan.

Ini mendorong rang undang-undang itu dibentangkan di parlimen pada Disember 2021, walaupun kerja masih perlu dilakukan untuk mengisi kelompongan dan jurang dalam draf undang-undang itu bagi memastikan ia berkesan, katanya.

Kok bercakap pada perbincangan panel susulan tanyangan dokumentari "The Boys Club" oleh pembuat filem Yihwen Chen, yang membincangkan pengalaman gangguan seksual Chen semasa menghasilkan filem untuk organisasi berita di Malaysia.

Emilia Shariff dari NGO Speakup Malaysia berkata kunci untuk menjadikan gangguan seksual sebagai agenda nasional adalah untuk menunjukkan bahawa ia bukan sekadar isu wanita, dan ini boleh dilakukan dengan melibatkan lelaki dalam perbincangan.

"Ia isu nasional, bukan sahaja untuk anak perempuan anda tetapi juga anak lelaki anda. Sertakan lelaki dalam perbualan. Jika tidak, isu ini tidak akan didesak," katanya.

Rang Undang-undang Gangguan Seksual dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Disember tahun lalu.

Matlamat utamanya untuk menubuhkan tribunal mendengar aduan dan tuntutan gangguan seksual.

Walau bagaimanapun, pada bulan Februari, kumpulan hak wanita dan ahli parlimen meminta semakan rang undang-undang tersebut untuk menangani jurang kelompongan dan menjadikannya lebih tertumpu kepada mangsa yang terselamat.

Ahli parlimen berkenaan juga menggesa rang undang-undang itu dibincangkan pada peringkat jawatankuasa pilihan supaya ia boleh diperbaiki sebelum dibentangkan untuk bacaan kali kedua.

Antara lain,vrang undang-undang itu digesa memasukkan tugas organisasi untuk mencegah dan menangani gangguan seksual, melanjutkan definisi gangguan seksual dalam rang undang-undang dan memasukkan klausa yang melindungi pengadu untuk memastikan mangsa yang terselamat dan mangsa berasa selamat dalam melaporkan gangguan terhadap mereka.

Pada bulan Mac, Jabatan Peguam Negara memberitahu kumpulan masyarakat sivil mengenai perkara itu bahawa ia sedang menjalankan kajian semula rang undang-undang itu dan berharap ia boleh dibentangkan untuk bacaan kali kedua di parlimen bulan depan.

[Baca berita penuh]