Skip to main
Logo Malaysiakini

Kabinet arah jawatankuasa khas perhalusi RUU antilompat parti

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kabinet mahu dua perkara diperincikan dan diperhalusi semula oleh jawatankuasa pilihan khas yang sedabg merangka rang undang-undang (RUU) yang bertujuan menyekat ahli parlimen daripada bertukar parti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Dia berkata jawatankuasa pilihan khas itu akan membincangkan dua perkara berkenaan pada 7 Jun dan seterusnya "memuktamadkan" rang undang-undang tersebut.

Bagaimanapun, Wan Junaidi berkata dia terikat dengan Peraturan 85 Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, dan tidak dapat mendedahkan butiran lanjut.

Menteri itu berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini susulan mesyuarat kabinet semalam, dengan kehadiran Peguam Negara Idrus Harun yang membentangkan rang undang-undang itu.

“Jemaah Menteri tiada bantahan terhadap draf yang dicadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

“Walau bagaimanapun, Jemaah Menteri membangkitkan dua perkara agar diperincikan dan diperhalusi semula oleh Jawatankuasa Pilihan Khas,” katanya.

Pada 27 Mei lalu, Wan Junaidi mendedahkan bahawa rang undang-undang itu hanya bertujuan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dan terpakai kepada ahli parlimen.

Katanya, undang-undang baru itu tidak akan membabit ahli parlimen yang dipecat oleh parti mereka atau parti yang bertukar pakatan.

Susulan sebahagian daripada Perjanjian Keyakinan dan Bekalan (CSA) yang dimeterai dengan Pakatan Harapan, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berjanji untuk menggubal undang-undang untuk menghalang ahli parlimen daripada bertukar parti.

Akta itu sepatutnya digubal semasa mesyuarat persidangan pertama Dewan Rakyat tahun ini. Tarikh akhir itu luput pada 24 Mac.

Terdapat 39 ahli Parlimen yang telah melompat parti sejak pilihan raya umum 2018.