Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu akreditasi: Bekas pelajar Limkokwing tuntut RM7.5 juta

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lima belas pelajar lepasan ijazah antarabangsa telah menghantar surat tuntutan undang-undang kepada Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT) memohon RM7.5 juta berhubung isu akreditasi berkaitan kursusnya.

Ini termasuk tuntutan baru RM2.5 juta oleh lima pelajar yang menyertai kumpulan 10 pelajar antarabangsa yang telah menghantar surat tuntutan RM5 juta tahun lepas.

Permintaan pampasan tersebut susulan pembatalan akreditasi untuk beberapa kursus di universiti itu oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 2020, yang akhirnya melucutkan legitimasi ijazah antarabangsa.

Melalui surat tuntutan yang dilihat oleh Malaysiakini itu, bekas pelajar tersebut menuntut RM500,000 setiap seorang sebagai ganti rugi daripada universiti.

Pecahan ganti rugi yang diminta termasuk perjalanan ulang alik ke negara asal mereka, perbelanjaan sara hidup di Malaysia dan pelbagai bayaran dan yuran untuk mengikuti kursus mereka.

Difahamkan, pelajar berkenaan menghantar surat tuntutan itu pada 11 Mei lalu dan masih belum mendapat maklum balas daripada pihak universiti.

15 bekas pelajar itu berasal dari Iran, Bangladesh, Comoros, Pakistan, Nigeria, Senegal, Syria, Turkmenistan, dan Gambia.

Mereka telah menamatkan kursus masing-masing, yang kemudiannya mereka sedar tidak diakreditasi oleh MQA.

Kursus pasca siswazah ini termasuk Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan, Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dalam Pengurusan Projek dan MBA dalam keusahawanan.

Pelajar membangkitkan perkara itu kepada institusi terbabit, yang kemudiannya memberi jaminan kepada mereka universiti bekerjasama rapat dengan MQA dan program mereka akan mendapat status akreditasi penuh semula apabila mereka tamat pengajian.

Bagaimanapun, isu itu telah berpanjangan sehingga September 2021, tetapi akreditasi tidak pernah diberikan.

Ini adalah jaminan biasa yang diberikan kepada bekas pelajar LUCT lain yang bukan sebahagian daripada litigasi semasa.

Pada April 2021, surat yang mewakili 840 pelajar berkenaan telah dihantar kepada LUCT, menuntut institusi itu menyelesaikan isu akreditasi sebelum tamat pengajian atau memberikan pampasan kepada mereka.

LUCT meminta mereka diberi masa sehingga Mei 2021 untuk mereka menyelesaikan isu yang gagal ditangani itu.

Malaysiakini telah cuba menghubungi LUCT berhubung dakwaan terkini dan juga cuba menghubungi Kementerian Pengajian Tinggi tetapi masih belum menerima sebarang maklum balas.

[Baca berita asal]