Skip to main
Logo Malaysiakini

Status undi ragu pemilihan PKR ditentukan mulai esok

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR menetapkan tarikh penentuan undi ragu pemilihan parti selama dua hari bermula esok.

Pengerusinya Dr Zaliha Mustafa mengesahkan perkara tersebut menerusi notis penentuan undi ragu pemilihan PKR dikeluarkan hari ini.

"Adalah dimaklumkan bahawa penentuan undi ragu bagi peringkat-peringkat pemilihan di cabang-cabang akan diadakan mengikut ketetapan yang diberikan.

"Penentuan undi ragu untuk cabang di negeri Sabah dan Sarawak akan diadakan secara atas talian. Pautan akan disalurkan melalui Setiausaha Kerja Negeri kepada calon-calon yang terlibat," katanya.

Penentuan undi ragu itu melibatkan jawatan ketua wanita antara Rodziah Ismail dan Fadhlina Sidek.

Menurut satu sumber parti, penentuan undi ragu bagi jawatan ketua wanita diadakan berikutan perbezaan undi antara keduua-dua calon itu cuma 440 undi sahaja.

"Mana-mana calon yang kalah dengan majoriti kurang daripada 2 peratus boleh membuat bantahan untuk mengadakan penentuan undi ragu," katanya.

Pada pemilihan kali ini Rodziah yang telah diumum secara tidak rasmi menang jawatan ketua wanita menerima 21,962 berbanding Fadhlina 21,502 undi.

Sementara itu, Zaliha juga memberitahu bahawa bantahan yang diterima akan diproses sekiranya lampiran resit bayaran yuran sebanyak RM100 dikemukakan selaras dengan perkara 5.3 Tatacara Pemilihan Parti.

"Wakil Calon Timbalan Presiden dan juga calon-calon atau wakil calon peringkat pemilihan yang terlibat dijemput hadir bagi melihat proses tersebut pada tarikh dan masa yang telah ditetapkan," katanya.

Selain jawatan ketua wanita, penentuan undi ragu juga melibatkan 36 cabang bagi pelbagai jawatan.