Skip to main
Logo Malaysiakini

Reunion Veteran: PVATM Pahang beri amaran

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Pahang memberi amaran kepada ahli mereka supaya tidak terbabit dalam perhimpunan Reunion Veteran di ibu negara yang dijadualkan hujung minggu ini.

Pemimpin persatuan itu dalam sidang media bersama di Kuantan hari ini memaklumkan tindakan tegas boleh diambil terhadap ahli terbabit berdasarkan perlembagaan persatuan masing-masing.

Yang Dipertua Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM), Bintara Kanan (B) Awai Mohamad, berkata pemilihan tarikh program itu dianggap tidak sesuai kerana seperti tidak menghormati hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong yang berasal dari Pahang.

"Sebelum ini mereka kata nak buat perhimpunan aman, tapi kemudian ditukar sebagai reunion dan kita persoalkan kenapa pilih hari sama dengan hari keputeraan Agong.

"Saya dimaklumkan program itu sudah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

"Ingin saya ingatkan kepada ahli PVATM di Pahang, kalau mereka nak pergi (sertai) reunion itu atas kapasiti individu, kita tak halang, tapi kalau guna nama persatuan, pakaian, logo atau apa-apa yang menggambarkan seolah mewakili PVATM, tindakan tata tertib boleh diambil oleh persatuan," katanya.

Awai Mohamad

Awal bulan lalu, sekumpulan veteran tentera mengumumkan akan mengadakan perhimpunan aman supaya tuntutan dikemukakan sebelum ini diberi perhatian.

Antara tuntutan itu ialah penyelarasan pencen bagi veteran yang bersara sebelum tahun 2004 dan 2013, pemberian pencen kepada veteran yang bersara awal dan diwujudkan lembaga pengampunan bagi pesara tentera yang diberhentikan di bawah mahkamah tentera.

Bagaimanapun, jurucakap perhimpunan aman itu, Komander (B) Abdul Rahman Husain pada 25 Mei lalu berkata, terdapat beberapa perubahan perlu dibuat selepas meneliti pelbagai aspek, termasuk undang-undang.

"Kami perhatikan dari sudut undang-undang dan dapati istilah perhimpunan aman kerap kali disalah guna.

"Demi menjaga nama baik veteran, program ini ditukarkan Reunion Veteran dan Sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong’ sesuai dengan tema kami, keluhuran perlembagaan dan kesetiaan kepada Raja.

"Tentatif dalam program ini antaranya ialah berikrar taat setia kepada Agong dan nyanyian Negaraku," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bekas Pasukan Khas Udara (PBPKU) Malaysia, Mejar (B) Jasni Abd Salam memaklumkan terdapat kira-kira 29,000 ahli persatuan veteran ATM di Pahang.

Jasni Abd Salam

Katanya, jumlah itu berdasarkan rekod diperoleh melalui persatuan bekas veteran yang aktif di negeri terbabit.

Pengerusi Persatuan Veteran Tentera Udara Diraja Malaysia (PVTUDM), Left Kolonel (B) Fakarudin Pilus pula menyifatkan penganjuran berkenaan lebih kepada inisiatif individu tertentu dan tidak mewakili mana-mana persatuan veteran ATM.

"Kami sentiasa konsisten memperjuangkan tuntutan lima perkara yang dikemukakan kepada kerajaan sebelum ini dan ada (segelintir) yang tidak sabar menunggu, jadi mereka rancang nak buat perhimpunan aman," katanya.

Lima teras tuntutan diperjuangkan veteran sebelum ini iaitu penyelarasan pencen, bantuan kebajikan, jangka masa pencen terbitan, penubuhan tribunal pengampunan dan pemberian elaun kenangan bulanan kepada penerima Pingat Jasa Malaysia.

Fakarudin Pilus

Fakarudin berkata, sepatutnya semua ahli persatuan veteran menunggu hasil keputusan jawatankuasa khas ditubuhkan kerajaan bagi mencari jalan menyelesaikan tuntutan berkenaan.

PVATM pada Feb lalu mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas veteran bagi memperjuangkan isu membelenggu veteran ATM, termasuk lima teras tuntutan dikemukakan persatuan veteran sebelum ini.