Zuraida akan temui PM dalam masa terdekat
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin akan bertemu dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat bagi membincangkan kedudukannya dalam kabinet.
Zuraida berkata dia akan membuat satu sidang akhbar minggu depan selepas isu kedudukannya dalam kabinet selesai.
Ahli parlimen Ampang yang baru kembali dari Turki itu berkata demikian kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.
Kepulanganya disambut oleh kira-kira 100 penyokong.
Zuraida berada di Turki bagi memenuhi undangan menghadiri persidangan perintis ketujuh Gabungan Wanita Global untuk al-Quds dan Palestin.
Sebelum itu, dia memenuhi undangan misi perniagaan dan pengembangan pasaran kayu Malaysia bersama Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) di Athens, Greece.
Pada 26 Mei, media melaporkan Zuraida mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Dia juga dilaporkan masih menyokong kerajaan pimpinan Ismail Sabri dan akan berjumpa dengan perdana menteri bagi membincangkan peletakan jawatannya sebagai menteri.
PBM, yang dipimpin oleh Ahli Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien dan didaftarkan sebagai badan politik rasmi pada 27 Okt 2021, antara lain adalah parti dijenamakan semula daripada Parti Pekerja Sarawak (SWP).
Ismail Sabri ketika di Tokyo, Jepun pada 28 Mei lepas berkata, Zuraida masih anggota kabinet dan perlu menjalankan tugas seperti biasa selagi beliau tidak membuat keputusan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai