Steven Sim gesa hapus birokrasi untuk derma pada sekolah
Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim mempersoalkan mengapa wakil rakyat perlu menulis surat kepada Kementerian Pendidikan untuk mendapatkan kelulusan menderma kepada sekolah yang secara proaktif meminta sumbangan.
Menyebutnya sebagai "birokrasi yang tidak perlu", Sim berkata dia baru-baru ini mengetahui bahawa dia dikehendaki berbuat demikian selepas sebuah sekolah di kawasannya mendekatinya untuk mendapatkan derma.
Dia mula-mula menyiarkan isu ini di Facebooknya, dengan menyertakan tangkap layar mesej yang menyatakan sebarang sumbangan daripada mana-mana wakil rakyat atau penderma lain memerlukan surat daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah untuk meminta sumbangan daripada penderma serta surat daripada penderma kepada pengarah Jabatan Pendidikan negeri memohon kelulusan untuk menderma kepada sekolah.
“Salah satu sekolah memajukannya (mesej) kepada saya, berkata saya perlu menulis surat jika saya ingin memberi sumbangan.
“Saya juga menerima contoh surat daripada ahli parlimen lain di Pulau Pinang yang telah berbuat demikian.
“Saya seorang ahli parlimen; kalau nak buat saya macam ni, tak apa. Tetapi bagaimana pula dengan orang ramai atau syarikat yang ingin menderma untuk apa sahaja?
"Ia adalah birokrasi yang akan memudaratkan pembangunan sekolah kita dan akan memudaratkan pendidikan anak-anak kita,” jelasnya ketika dihubungi Malaysiakini.
Sim mempersoalkan mengapa kerajaan mahu melaksanakan tahap kawalan seperti ini ke atas sekolah, terutamanya apabila kekurangan sumber dan sekolah mengambil inisiatif sendiri.
"Sekolah tak cukup dana. Kerajaan tak mampu nak bantu. Sekolah pun pohonlah sumbangan wakil rakyat dan orang ramai. Wakil rakyat dan orang ramai setuju nak sumbang.
"Kerajaan pula tak bagi - pihak yang nak menderma kena tulis surat terlebih dahulu kepada kerajaan, minta izin kerajaan dulu sama ada kita boleh beri sumbangan kepada sekolah atau tidak.
"Takkan kerajaan tak yakin kepada pengurusan sekolah untuk kenal pasti keperluan sekolah masing-masing?
"Takkan guru-guru besar dan para pengetua sekolah kena control macam mereka ni tak mampu berfikir tentang kebajikan sekolah yang dipimpin?" katanya di Facebook.
Tambahnya, sumbangan yang dicari oleh sekolah-sekolah ini bukan untuk projek besar yang melibatkan pembinaan bangunan baru.
Sebaliknya, kata Sim, ia adalah untuk perkara seperti memasang CCTV, membaiki tandas, menyediakan meja baru dan sebagainya.
Menurutnya, ia juga mengelirukan kerana dalam beberapa keadaan, pihak berkuasa sekolah sendiri juga perlu menulis surat kepada Jabatan Pendidikan negeri untuk mendapatkan kelulusan untuk sumbangan itu.
Dengan menjadikan proses itu begitu sukar dan mengelirukan, Sim berkata ini akan menghalang sekolah daripada memohon sumbangan.
“Kementerian perlu menghapuskan, keperluan yang tidak masuk akal ini dan biarkan masyarakat tempatan, masyarakat awam, wakil rakyat tempatan dan syarikat bekerjasama dengan sekolah tempatan untuk membangunkan sekolah itu. Tiada politik,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai