Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Saranan penyelesaian MB Perak yang 'tak masuk otak'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Saranan Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, mengenai cara rakyat mengatasi masalah kos sara hidup sekarang ini kelihatan suatu penyelesaian di luar kotak (out of box).

Namun pada realitinya cadangan Saarani itu - agar rakyat menanam sayur-sayuran dan menternak haiwan sendiri - adalah saranan yang tidak dapat dimasukkan ke otak (out of mind).

Benar, krisis makanan yang melanda seluruh negara hari ini hingga menyebabkan harga barangan melambung tinggi dan terputusnya bekalan ayam memerlukan tindakan drastik bagi menjamin sekuriti makanan negara.

Tetapi adakah cadangan untuk rakyat bercucuk tanam dan menternak haiwan benar-benar satu penyelesaian yang boleh diterima pakai?

Sebelum melontarkan saranan sesedap hati, persoalan pertama yang perlu Menteri Besar Perak pertimbangkan ialah: berapa ramai rakyat negeri itu yang mempunyai tanah lebih luas daripada sekangkang kera untuk mereka bertani mahupun berternak?

Kemudian wajib juga diperkirakan soalan kedua: berapa ramai pula yang ada masa untuk turun ke kebun atau kandang di sebalik kesibukan mereka dengan kerja hakiki seharian?

Akhir sekali, jika benar rakyat Perak ada tanah dan masa, perlu ditanyakan juga: berapa ramai antara mereka yang mempunyai pengalaman atau pengetahuan? Misalnya ilmu mengenai selok-belok menanam kubis atau jagung, dan kaedah-kaedah menternak ayam dan lembu?

Sediakah kerajaan beri komitmen

Realitinya tidak semua rakyat Perak mempunyai tanah sendiri. Mereka yang tinggal di rumah teres, pangsapuri atau flat PPR sudah tentulah tidak mempunyai ruang tanah yang boleh digunakan.

Rakyat juga terikat dengan komitmen kerja hakiki masing-masing. Malah ada yang kerjanya pergi pagi dan pulang petang, selain yang sampai ke malam.

Pulang ke rumah pastinya masa yang ada hendak digunakan untuk berehat atau bermesra sesama ahli keluarga.

Di mana mereka mahu mencuri masa berkebun atau menguruskan kandang ternak?

Ini rintangan yang perlu Menteri Besar Perak selami terlebih dahulu sebelum melontarkan saranan luar kotak yang tak masuk otak tadi.

Namun, jika Saarani benar-benar serius mahukan rakyat Perak bermandiri menanam sayur-sayuran dan memelihara haiwan ternakan untuk kegunaan sendiri, maka bersediakah kerajaan negeri memberikan komitmen yang penuh bagi merealisasikan idea tersebut?

Saarani yang juga merupakan mantan exco pertanian sebelum ini pernah melaksanakan program bertani khususnya bagi rakyat yang berada di bandar. Apakah hasilnya?

Jika mahu rakyat bermandiri, maka kerajaan negeri berikanlah tanah kepada mereka untuk merealisasikan ladang rakyat. Secara pajakan pun tidak mengapa asalkan ia boleh diusahakan oleh rakyat untuk beberapa tahun.

Sediakan modal kerja, anak benih dan anak pokok, selain pendidikan dan latihan secukupnya supaya setiap rakyat Perak boleh mengusahakan tanaman dan ternakan untuk kegunaan mereka sendiri melalui anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP).

Apa kegunaan anak syarikat berteraskan pertanian dan penternakan jika tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri?

Petani kecil diusir

Kita sendiri boleh lihat di negeri Perak ini, di kawasan bandar dan pekan, di kampung tersusun dan kampung baru, malahan di segenap ceruk mana-mana tanah kosong yang terbiar, ia telah diusahakan secara mandiri oleh rakyat.

Lihat sahaja di Ipoh bagaimana kebun sayur dan ladang jagung muncul di tengah bandar raya hasil usaha rakyat.

Akan tetapi, kemandirian rakyat itu jugalah yang kerap dicantas oleh kerajaan negeri sendiri.

Insiden yang berlaku semasa Ramadan dan Syawal di Chemor, Chepor, Kanthan, Pusing, Mambang Diawan, Tanah Hitam, Changkat Kinding dan beberapa tempat lagi di adalah contohnya.

Petani kecil diusir dari tanah yang mereka usahakan. Ia sudah tentu membangkitkan tanda tanya, sejauh mana kerajaan negeri benar-benar komited dalam menjamin sekuriti makanan?

Petani-petani kecil terbabit adalah contoh rakyat yang bermandiri. Mereka berkecimpung dalam pertanian sejak puluhan tahun lalu, justeru mempunyai pengalaman dan pengetahuan.

Ada antara mereka yang pernah menuntut lesen tumpangan sementara (TOL) tetapi tidak dilayan. Kini mereka diusir dari tanah yang mereka usahakan kerana ada pemaju mahu membina lebih banyak rumah teres dan pangsapuri - yang pastinya tanpa ruang tanah untuk pemilik rumah menanam sayur sendiri.

Ini realiti yang berlaku sekali gus menimbulkan persoalan sejauh mana Saarani benar-benar mahu rakyat bercucuk tanam dan menternak haiwan.

Krisis makanan yang berlaku hari ini sebenarnya adalah kesan daripada kegagalan kerajaan pusat merangka dasar yang benar.

Sebagai contoh, terputusnya bekalan ayam di pasaran berpunca daripada tindakan para penternak yang terpaksa menghentikan pengeluaran kerana tidak boleh menampung kos.

Harga makanan ayam naik mendadak dan ia memaksa penternak menaikkan harga ayam mentah.

Tindakan kerajaan yang mengenakan harga siling ayam mentah - tapi pada masa yang sama gagal memperuntukkan subsidi kepada penternak - menjadi punca pengeluaran ayam dihentikan hingga bekalan terputus.

Kelemahan-kelemahan seperti inilah yang sebenarnya perlu diteliti dan diatasi.

Ia jauh lebih utama daripada sekadar melontarkan saranan luar kotak yang tak masuk otak ketika rakyat yang tiada tanah sedang bergelut dengan beban kerja masing-masing.

Lebih malang, pada masa yang sama kerajaan Perak sendiri tidak mesra kepada petani kecil yang menjadi pemangkin pada jaminan sekuriti makanan negara.

Satu soalan lain timbul: Adakah nasihat di luar kotak dan luar otak ini hasil daripada kegagalan Exco Pertanian Perak merangka dasar dan menasihatkan menteri besar?

Ataupun adakah majlis mesyuarat kerajaan kegeri sedia ada ini memang tidak berupaya menangani krisis yang sedang dihadapi rakyat Perak?


HOWARD LEE ialah anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, bendahari DAP Perak dan Adun Pasir Pinji.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.