Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | GST: 'Gasak sampai tersungkur' rakyat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Kegagalan kerajaan menangani kenaikan harga barang makanan cara menyeluruh amat membimbangkan dan mengecewakan kerana mereka begitu lembab dan tidak fokus atas isu yang begitu kritikal untuk rakyat.

Menurut bekas menteri kewangan yang amat berpengalaman, Tengku Razaleigh Hamzah, kejatuhan ringgit yang mungkin akan mencecah tahap RM5.50 berbanding dollar Amerika Syarikat menjelang akhir tahun ini, dan dengan Malaysia yang hanya mempunyai bekalan makanan untuk dua bulan berbanding tujuh puluh dua bulan (6 tahun) untuk Singapura, kita akan berdepan masalah ekonomi serta sosial yang amat serius.

Apabila harga ayam mulai naik pada awal bulan ramadhan, penguatkuasa kerajaan mengenakan kompaun serta merta RM500 seorang keatas peniaga peniaga kecil ayam di Pasar di Kuala Terengganu tanpa memgambil apa apa siasatan terperinci keatas pembekal besar utama yang menentukan harga kepada peniaga kecil pasar.

Pembekal utama pula menunggu bantuan dari kerajaan.

Ini merupakan tindakan tidak berkesan menghukum ikan bilis tanpa usaha untuk menyelesaikan masalah pada peringkat puncanya serta perkara pokoknya.

Hanya sekarang perdana menteri mengumumkan kajian ke atas pembekal utama akan di buat pada bulan Jun.

Hal ini amat mengecewakan dan memperlihatkan betapa lembap dan lemah tindakan kerajaan hari ini di mana perdana menteri dan menteri-menteri masih sibuk ke luar negara selepas raya sementara negara menghadapi krisis harga barang yang melambung tinggi sehingga rakyat sengsara akibat kos makanan tidak terkawal.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob telah ke Amerika Syarikat untuk bergaya berdamping dengan Presiden Amerika Joe Biden sementara rakyat resah bergelut dengan kos kenaikan barang makanan mendadak dan kos sara hidup lain.

Perdana menteri membuka mulut luas melaung memperjuangkan mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama rantau Asean manakala memekakkan telinga terhadap rintihan suara rakyat kos harga barang makan terus naik dan rakyat mengikat perut.

Menteri-menteri pula ada yang sibuk keluar negara kononnya memperjuangkan isu negara tetapi dalam masa yang sama, ada yang merancang melompat bertukar parti politik lagi untuk kepentingan politik peribadi.

Apabila kerajaan yang lemah serta ketandusan idea terus diasak rakyat untuk memulih ekonomi, perdana menteri kini mencadangkan langkah yang akan lebih memudaratkan rakyat dengan memilih jalan mudah menambah cukai ke atas rakyat.

Cukai GST dicadangkan supaya dikembalikan untuk menambah bebanan dan penderitaan rakyat. Ini mengesahkan kerajaan bankrap idea kreatif untuk mentadbir negara dengan baik.

‘Rakyat jatuh ditimpa tangga’

GST yang di cadangkan akan dikenali rakyat sebagai tindakan - "Gasak Sampai Tersungkur" (GST) rakyat yang sudah di himpit berbagai masalah ekonomi sejak wabak Covid-19 lagi.

Ini ibarat rakyat yang sudah jatuh akan ditimpa tangga pula .

Inilah pemimpin lemah Malaysia yang kita miliki hari ini. Negara di ambang kerosakkan yang padah kita akan alami sekiranya tindak tanduk sebegini dikekalkan.

Dahulu pernah dikatakan kepentingan rakyat di dahulukan oleh kerajaan. Hari ini hanya nafsu serta agenda politik yang diutamakan.

Nampak gaya rakyat sekali lagi akan di "Gasak Sampai Tersungkur" (GST) olih kerajaan Cap Ayam ini.


RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH ialah Pengerusi Amanah dan PH Terengganu.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.