Skip to main
Logo Malaysiakini

Dakwaan edar ganja: Bekas duta, anak berdepan tali gantung

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang bekas diplomat dan anak lelakinya berdepan risiko hukuman mati kerana didakwa mengedar dadah.

Zainal Abidin Alias dan Mohamed Rizal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bentong pagi ini untuk menghadapi pertuduhan mengedar minyak ganja.

Peguam kedua-dua tertuduh, Rahmat Hazlan mengesahkan pertuduhan itu ketika dihubungi hari ini.

Menurut senarai kertas kausa dalam talian di laman web badan kehakiman Malaysia, nama kedua-dua tertuduh telah disenaraikan untuk kes tersebut di mahkamah rendah itu hari ini.

Awal hari ini, Zainal secara sukarela menyerah diri dan hadir ke mahkamah majistret berikutan dibebaskan daripada reman pada Sabtu lalu.

Apabila dibacakan pertuduhan kepada mereka oleh jurubahasa mahkamah, bapa dan anak itu menyatakan mereka memahami dakwaan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kedua-dua mereka juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyimpan minyak ganja mengikut Seksyen 9(1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Rizal turut meminta dibicarakan atas pertuduhan tambahan di bawah Seksyen 15 Akta kerana menggunakan THC (komponen aktif ganja).

Kesalahan mengedar dadah di bawah Seksyen 39B boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Sebaliknya, kesalahan mengambil dadah di bawah Seksyen 15 membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda RM5,000, jika sabit kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa mengedar dadah jenis ganja seberat 1,020 gram di Lot 5718 (Bayu Bukit Hijau), Kg Sum Sum Hilir Janda Baik, Bentong, Pahang, sekitar jam 6.10 petang pada 21 Mei lalu.

Berhubung kesalahan menyimpan minyak ganja, kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu dengan menggunakan 60 mililiter minyak itu di lokasi sama pada masa dan hari yang sama.

Berhubung pertuduhan lain mengenai memasukkan THC ke tubuh, Rizal didakwa melakukan kesalahan itu di unit Narkotik di ibu pejabat polis Bentong sekitar jam 8.40 malam pada 23 Mei lalu.

Majistret Shahrul Ekhsan Hasim menetapkan 13 Jun ini untuk sebutan semula kes terhadap tertuduh bapa dan anak itu.

Di bawah undang-undang untuk pertuduhan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B, pengakuan tertuduh tidak dibuat di Mahkamah Majistret.

Mahkamah rendah tersebut kemudiannya akan memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi, apabila tertuduh bapa dan anak itu akan diminta membuat pengakuan mereka terhadap pertuduhan mengedar dadah.

Pasukan pendakwaan diketuai pengarah pendakwaan negeri Pahang Mohammad Khalid.

Bekas diplomat dan anak lelakinya itu diwakili peguam Tania Scivetti dan Kamil Azman.

Malaysiakini melaporkan semalam bekas diplomat dan anaknya itu telah menghantar surat representasi kepada Peguam Negara berhubung kes itu.

Mengikut prosedur undang-undang, surat representasi merupakan kaedah sesuatu pihak mencadangkan cara untuk menyelesaikan perkara undang-undang, seperti tanpa pertuduhan dikenakan atau pertuduhan yang lebih rendah ditawarkan.

Bekas duta itu ditahan semasa serbuan polis di rumahnya pada 21 Mei lalu.

Polis kemudian menahan anaknya di Shah Alam, Selangor, dua hari kemudian.

Bagaimanapun, bekas duta itu dibebaskan daripada tahanan pada 28 Mei apabila Mahkamah Majistret Bentong menolak permohonan polis untuk lanjutan reman.

Pihak berkuasa bagaimanapun menerima lampu hijau daripada mahkamah rendah untuk lanjutan reman terhadap anak lelakinya itu sehingga 4 Jun.

[Baca berita asal]