Skip to main
Logo Malaysiakini

Anak Zahid rosakkan usaha pemerkasaan wanita - Kit Siang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang berkata, Nurul Nurulhidayah Ahmad Zahid telah merosakkan usaha pemerkasaan wanita apabila mendakwa golongan itu tidak dilahirkan sebagai pemimpin.

Kit Siang berkata, ketika pentadbiran Pakatan Harapan, kerajaan telah melantik Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri wanita pertama di negara ini.

“Nurulhidayah telah merosakkan usaha pemerkasaan wanita apabila dia mengatakan wanita tidak dilahirkan untuk menjadi pemimpin.

“Kita pernah ada seorang timbalan perdana menteri wanita dan sepatutnya tidaklah terlalu sukar untuk mendapatkan seorang perdana menteri wanita di Malaysia," kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Dia menyebut beberapa negara yang mempunyai presiden atau perdana menteri wanita termasuk Indonesia, Filipina, Korea Selatan, India, Taiwan, Thailand, Australia, Norway, Kanada, Sweden, Finland dan Denmark.

“Nurulhidayah harus ingat bahawa kita berada dalam era baru pemerkasaan wanita dengan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf, kedua-duanya wanita, dan tujuh hakim wanita daripada 12 hakim di Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Awal bulan lalu, Nurulhidayah yang juga anak sulung kepada presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata wanita tidak dilahirkan sebagai pemimpin.

Nurulhidayah berkata demikian dalam wawancara dengan sebuah akhbar ketika ditanya pendiriannya berkaitan hak-hak wanita dan perwakilan wanita dalam politik.

“Hak wanita dalam politik? Wanita tidak dilahirkan sebagai pemimpin tau. Jadi, ya, wanita tidak dilahirkan sebagai pemimpin.

“Lelaki yang dilahirkan sebagai pemimpin. Jadi untuk hak asasi manusia, hak asasi wanita, saya rasa semua patut ada hak.

“Kerana kita semua manusia,” katanya dalam wawancara dengan Sinar Daily.