Husam ingatkan Dr M perjanjian dengan Anwar
Ketua Amanah Kota Bharu Husam Musa mengingatkan Dr Mahathir Mohammad tentang perjanjiannya dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim berhubung jawatan perdana menteri.
Kata Husam, tidak timbul isu Pakatan Harapan (PH) tidak menyokong ahli parlimen Langkawi itu untuk terus kekal sebagai perdana menteri ketika gabungan itu menawan Putrajaya melalui pilihan raya umum (PRU) ke 14 lalu.
"Kan Tun (Dr Mahathir) dah janji hari itu? Dah tandatangan perjanjian dan saya ada jadi saksi kerana saya yang sediakan perjanjian itu.
"Perjanjian itu dibawa ke rumah Tun pada pagi hari, dalam perjanjian itu Tun bersetuju nak jadi perdana menteri dua tahun saja.
"Tak timbul masalah orang undi dia lagi untuk jadi perdana menteri sebab dia dah bersetuju dan dia pun dah jadi perdana menteri sehingga dua tahun, (atau) 22 bulan, dah dekat dua tahunlah, tinggal dua bulan saja lagi," tegas Husam kepada media di Putrajaya, hari ini.
Husam berkata demikian mengulas kenyataan Mahathir yang juga pengerusi Pejuang semalam yang mendakwa dia masih lagi perdana menteri jika bukan kerana Anwar.
Dalam wawancara bersama Utusan Malaysia, Mahathir menjelaskan selepas dia meletak jawatan perdana menteri pada 24 Feb 2020, Yang di-Pertuan Agong perlu memutuskan ahli parlimen yang mendapat sokong majoriti anggota Dewan Rakyat.
"Kalau tak sabit dia (Anwar), saya hari ini jadi perdana menteri. Pasal bila saya letak jawatan, Agong mahu setiap 220 ahli parlimen tulis siapa yang mereka pilih. Saya fikir PH akan letak nama sayalah, pasal saya daripada PH.
“Tetapi Anwar kata dia ada banyak sokongan, tapi dia orang (PH) bagi kepada Anwar 92 undi, saya dapat 62, bukan daripada PH, daripada parti lain orang lain saya tak tahu siapa.
“Kalau saya dapat 62, kalau saya juga dapat 92 daripada PH, saya dapat 154, saya jadi perdana menterilah. Tapi dia bagi saya kalah, dia pun kalah,” kata Mahathir.
Mengulas lanjut perkara itu, Husam berkata sebelum kedua-dua pihak pemimpin terbabit sepakat dan bersetuju dengan perjanjian tersebut, Mahathir telah mengadakan perbincangan dengan anak perempuan presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, yang turut dihadirinya.
"Kemudian sebelum kedua-dua pihak menerima persetujuan bergabung dengan Tun dan setuju untuk Tun jadi perdana menteri, Tun telah telah pujuk pihak Anwar melalui Nurul Izzah.
"Saya diminta jadi saksi dalam pertemuan Nurul Izzah dengan Tun di rumah dia, dan dalam masa perjumpaan itu Tun pakai pakaian yang paling segak iaitu pakaian sut ala nehru, dia jarang-jarang pakai tu.
"Dia pakai kemas kerana berunding dengan Nurul Izzah, saya diminta menemankan perundingan itu.
"Dan dalam perundingan itu, Tun bersetuju untuk dia jadi perdana menteri dan kemudian beri kepada Anwar," katanya.
Dr M tak cerita siapa-siapa
Jelas Husam, Anwar yang juga ahli parlimen Port Dickson itu juga telah bersetuju dengan penuh hormat untuk Mahathir mengemudi negara.
"Seterusnya kita kena ingat mesyuarat PH yang terakhir Febuari 2020 yang mana semua setuju Tun terus jadi perdana menteri dan tak tentukan tarikh bila dia berhenti.
"Dalam mesyuarat itu, Anwar sendiri kata Tun teruskan sebagai perdana menteri dan akan sokong dia, tak perlu bincangkan tarikh akhir jawatan beliau. Tun teruskan, kita sokong dan kita tiada masalah.
"Tetapi, keesokkan harinya dia letak jawatan," jelas Husam.
Malah, kata Husam apa yang lebih menyedihkan, Mahathir langsung tidak bercerita kepada sesiapa selepas dia meletakkan jawatan sebagai perdana menteri ketujuh selepas 22 bulan memerintah.
"Dia tak cerita pada (pemimpin) PH seorang pun, tiba-tiba dia hantar surat letak jawatan dan pada hari kita nak mengadap Agong di Istana, pihak PH berhimpun di Hotel Eastin, berkampung di situ dan kita tugaskan orang untuk ambil Tun tetapi Tun tak datang
"Jadi, kita pun keliru nak letak nama Tun, Tun dah letak jawatan. Jadi, kita terpaksalah dan semua ahli parlimen PH masa itu memberikan undi percaya kepada Anwar sampai dia dapat sehingga 92 undi.
"Bukan salah PH kerana Tun tidak ada komunikasi pada masa itu," tegas Husam.
Saifuddin simpan salinan perjanjian
Tambah Husam, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail masih menyimpan salinan surat perjanjian terbabit dan pendedahannya itu hanya sekadar berkongsi fakta yang sebenar tentang situasi ketika itu.
"Saya jelaskan perkara ini supaya di kemudian hari fakta yang sebenar tentang keadaan pada waktu itu dapat direkodkan dan saya antara saksi kepada perkara-perkara tersebut.
"Saifuddin ada salinan perjanjian itu," katanya.
Mengulas lanjut tindakan Mahathir itu, Husam mempersoalkan keikhlasan bekas perdana menteri ketujuh itu dalam membela nasib rakyat di negara ini.
Kata Husam, sebagai pemimpin negara Mahathir tidak sepatutnya meletakkan sebarang syarat.
Namun, kata Husam sebaliknya pula yang berlaku.
"Kenapa tiap-tiap masa orang lain kena ikut syarat Tun (Mahathir) saja? Setiap masa Tun saja kena bagi syarat, tak boleh ke sekali Tun ikut syarat orang lain?
"Tiap-tiap masa dia kena letak syarat, syarat itulah, syarat inilah, dua syarat, tiga syarat.
"Kali ini kalau Tun betul-betul fikir tentang negara dan rakyat Malaysia yang menderita dengan harga barang naik dan ekonomi yang sangat rapuh serta segala benda boleh berlaku pada ekonomi, hutang negara kita banyak, ramai susah nak cari makan dan kuasa beli orang kampung jatuh, Ringgit Malaysia nak jatuh.
"Jadi, kenapa kita nak kena banyak-banyakan syarat? Kamu nak selamatkan negara ke nak letakkan diri kamu dalam percaturan kuasa?
"Kalau nak utamakan negara tak perlu syarat, apa masalah dengan Anwar ke Muhyiddin kalau kamu kata nak berkorban untuk negara dan kenapa tidak pula orang lain yang beri syarat kepada Tun pula?
"Kalau kita kata syaratnya nak kerjasama dengan Pejuang, Tun bersara, apa salahnya?” soalnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai