Skip to main
Logo Malaysiakini

Wanita hamil 7 bulan ditemukan mati, kesan tembakan di perut

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang wanita hamil tujuh bulan ditemukan mati dengan kesan tembakan dalam sebuah kereta di tepi jalan di Kampung Repek, Pasir Mas, dekat Kota Bharu petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata peniaga berusia 26 tahun itu ditemukan dalam kereta miliknya jenis Nissan Cefiro di tepi jalan kampung tersebut pada kira-kira 4 petang.

Dia berkata mayat mangsa ditemukan di tempat duduk pemandu dan mempunyai kesan tembakan pada bahagian perut sebelah kiri.

"Hasil pemeriksaan dalam kereta tersebut menemukan satu biji kelongsong peluru pada (ruang) bahagian kaki penumpang belakang sebelah pemandu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat dan polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun pada 11.25 malam tadi di Pasir Mas.

“Suspek yang bekerja sebagai seorang buruh ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

-Bernama