Kes Ain Husniza: 'Kenapa peguam k'jaan wakili guru dalam kes peribadi?'
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata dia terkejut dengan tindakan peguam kerajaan yang dilantik mewakili guru yang didakwa membuat jenaka rogol dalam kelas serta bekas guru besar dalam saman tuntutan balas yang difailkan oleh Ain Husniza Saiful Nizam.
“Saya terkejut membaca bahawa peguam kanan persekutuan membela guru lelaki yang membuat jenaka rogol di dalam kelas dan bekas guru besar sekolah selaku defendan dalam tuntutan balas yang difailkan oleh pelajar Ain Husniza.
"Bagaimanakah peguam kanan persekutuan boleh bertindak untuk membela mereka sedangkan guru dan bekas guru besar tersebut telah disaman dalam kapasiti peribadi mereka?" soal Kok dalam kenyataan.
Katanya lagi, apatah lagi jika mengambil kira Ain Husniza yang terlebih dahulu disaman fitnah oleh guru terbabit, dan terpaksa membuat tuntutan balas untuk membela dirinya.
Justeru, Kok menggesa agar Peguam Negara Idrus Harun menarik balik lantikan peguam tersebut untuk mewakili guru dan bekas guru besar terbabit, memandangkan ia adalah "perbicaraan undang-undang persendirian.
Semalam Ain dan bapanya, Saiful Nizam Ab Wahab memfailkan afidavit di mana mereka mendakwa “tidak wajar” dan janggal bagi peguam kanan persekutuan mewakili defendan ketika kedua-duanya disaman atas kapasiti peribadi.
Kata mereka, sebelum peguam kerajaan ingin mewakili penjawat awam atas kapasiti peribadi, Pejabat Peguam Negara mestilah terlebih dulu mengeluarkan sijil membenarkan tindakan itu dilakukan, namun ia tidak dibuat dalam kes ini.
Kata Kok lagi, langkah itu akan menjadi "contoh buruk" untuk peguam kanan kerajaan mewakili penjawat awam dan juga bekas penjawat awam dalam kes peribadi mereka.
Peguam kanan kerajaan seharusnya mewakili pihak kerajaan sahaja, katanya lagi.
"Semua yang Ain lakukan, sebagai seorang kanak-kanak perempuan, adalah secara sah menyatakan rasa tidak senang terhadap guru lelaki dewasanya yang memandang remeh isu jenaka rogol dan membiarkannya begitu sahaja.
"Dia tidak memulakan sebarang tindakan undang-undang, walaupun itu adalah dalam haknya. Tetapi dia dan bapanya telah disaman oleh guru.
"Jelas sekali, ini adalah saman persendirian antara guru dan bekas pelajar mereka. Bagaimana peguam kerajaan boleh bertindak untuk pihak persendirian (melibatkan) penjawat awam dan pesara awam?" soalnya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai