Skip to main
Logo Malaysiakini

Agensi awam, swasta diseru jadi peserta aktif rundingan iklim dan biodiversiti

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Semua agensi awam dan swasta di Malaysia diseru menjadi peserta aktif dalam rundingan iklim dan biodiversiti, selain menyokong cadangan untuk melindungi serta memelihara sekurang-kurangnya 30 peratus daratan dan lautan menjelang 2030.

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah Malaysia juga perlu berusaha menjayakan pelan Rangka Kerja Biodiversiti Global Pasca2020 yang dirundingkan dalam Konvensyen Kepelbagaian Biologi untuk diluluskan di Perjanjian Biodiversiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (COP15) di China.

"Teras pelan tersebut ialah cadangan berasaskan kajian sains bagi memperuntukkan 30 peratus keluasan tanah dan perairan dunia sebagai kawasan perlindungan dan pemuliharaan.

“Kita perlu berusaha bagi memastikan kawasan darat dan perairan yang boleh diwartakan untuk mencapai sasaran global penting ini.

"Penyertaan Malaysia menjayakan sasaran ini boleh menonjolkan kebersamaan dengan seluruh warga dunia menangani isu ini, apatah lagi negara kita adalah satu daripada 17 negara megadiversiti di dunia yang diiktiraf kerana kaya dengan kepelbagaian spesies flora dan fauna," titah baginda menerusi kenyataan sempena Hari Alam Sekitar Sedunia hari ini.

Selain COP15, turut dijadualkan tahun ini ialah Sesi Ke-27 Persidangan Pihak-Pihak Mengenai Perubahan Iklim (COP27) di Mesir pada November ini dan baginda berpandangan Malaysia sebagai negara anggota haruslah aktif dalam menyertai dialog antarabangsa.

Tengku Hassanal bertitah usaha melestarikan alam sekitar juga memerlukan penglibatan seluruh warga Malaysia dan aspirasi tersebut hendaklah diterjemahkan menjadi realiti demi generasi masa hadapan.

Baginda turut menzahirkan kesyukuran atas tindakan kerajaan negeri Pahang mewartakan tambahan kawasan Hutan Simpan Chini, Pekan pada 5 Ogos 2021 daripada 4,600 hektar kepada 6,502.8 hektar, selari dengan titah baginda selepas meninjau lokasi itu susulan laporan berkaitan kemusnahan Tasik Chini.

"Peluasan Hutan Simpan Chini secara langsung dapat melindungi flora dan fauna serta memastikan kehidupan Orang Asli di sekitar tidak terus terancam.

"Tasik Chini ialah permata alam di Pahang dan merupakan tapak Rizab Biosfera Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pertama di Malaysia, menjadikan keunikannya yang bernilai tinggi serta bertaraf dunia perlu dipelihara dan dipulihara," titah baginda.

- Bernama