Skip to main
Logo Malaysiakini

Saya tak pernah dakwa ada majoriti untuk kembali jadi PM - Muhyiddin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menafikan dia mendekati pemimpin politik dan memberitahu mereka dia telah memperoleh majoriti untuk kembali sebagai perdana menteri.

Ini selepas Presiden Warisan Shafie Apdal menuduh Muhyiddin dua bulan lalu berjumpa dengannya dan mendakwa mendapat sokongan 119 ahli Parlimen.

Sebanyak 111 Ahli Parlimen daripada 220 kerusi diperlukan untuk majoriti.

Berita Harian memetik Muhyiddin menyifatkan dakwaan itu sebagai "tidak benar".

Dia mengesahkan bertemu dengan pemimpin parti bukan BN tetapi berkata ia adalah untuk membincangkan pengaturan untuk menentang BN secara langsung pada pilihan raya umum ke-15.

"Perkara ini dibincangkan secara tidak rasmi apabila terdapat beberapa ahli politik dari parti pembangkang yang menemui saya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

"Rata-rata berpendapat cara terbaik untuk menghadapi PRU-15 ialah dengan mengusahakan formula satu lawan satu menentang BN," katanya.

Muhyiddin berkata kejayaan BN dalam PRN Melaka dan Johor adalah disebabkan undi pesaing mereka berpecah.

"Susulan itu, saya mengambil inisiatif untuk berhubung dengan pimpinan parti selain BN bagi berkongsi pandangan mengenai formula satu lawan satu dan inisiatif ini saya ambil selepas mendapat persetujuan Biro Politik Bersatu dan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

"Saya tidak bertindak secara bersendirian tetapi mendapat mandat daripada parti," katanya.

Menurutnya persefahaman diperlukan untuk PRU ke-15 bagi menghalang kepulangan kleptokrat.

"Saya percaya majoriti rakyat menolak kleptokrasi dan suatu usaha mesti dilakukan untuk menghalang BN daripada kembali berkuasa sepenuhnya di negara ini.

"Dalam siri perbincangan saya dengan pimpinan parti politik selain BN, saya mengambil maklum mengenai pendirian setiap parti berhubung cadangan ini.

"Saya akur masing-masing mempunyai pandangan tertentu mengenai beberapa perkara yang berkaitan dengan cadangan ini," katanya.

Dia menegaskan pintu Bersatu akan terbuka kepada mana-mana parti bukan BN untuk merangka strategi terbaik bagi PRU ke-15.