Skip to main
Logo Malaysiakini

Seperti MCA, Ahmad harap ROS juga lulus pindaan perlembagaan Umno

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) agar meluluskan pindaan perlembagaan parti itu yang telah dipersetujui oleh semua perwakilan sebelum ini.

Bercakap pada permukiman Penerangan Umno Malaysia di di Pusat Latihan Memperkasa Ummah (Ilmu) di Janda Baik, Pahang semalam, Ahmad berkata ROS sebelum ini telah meluluskan pindaan serupa oleh MCA.

“Mudah-mudahan apa yang diminta oleh Umno mengenai pemilihan parti tercapai malah parti MCA yang diluluskan oleh ROS telah meminda perlembagannya tentang melanjutkan pemilihan parti selewatnya enam bulan selepas PRU baru diadakan pemilihan.

“Kalau dapat diluluskan maka pemilihan akan diadakan setiap kali selepas pilihan raya. Kalau diadakan pemilihan Umno sebelum pilihan raya maka seluruh ‘pokok’ itu akan tumbang dan lingkup Umno serta kembali kepada 22 bulan yang susah sebagaimana selepas PRU 14 lalu,” katanya menurut portal Umno-online.

Perhimpunan Agung MCA pada Disember 2019 telah memutuskan untuk meminda perlembagaan parti yang antara lain menetapkan pemilihan kepimpinan hanya akan dibuat selewat-lewatnya enam bulan selepas PRU atau selepas 36 bulan daripada pemilihan parti sebelum ini.

ROS kemudian meluluskan pindaan perlembagaan itu pada awal tahun ini.

Umno juga memohon pindaan serupa dalam perlembagaannya semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) Khas pada 15 Mei.

Menurut perlembagaannya sekarang, Umno telah pun melaksanakan ketetapan yang membenarkan parti itu menangguhkan pemilihan sehingga Disember.

Ahmad berkata demikian ketika berucap permukiman Penerangan Umno Malaysia semalam yang turut dihadiri ketua penerangan Shahril Hamdan.

Permukiman selama tiga hari dua malam di itu melibatkan ketua-ketua penerangan peringkat negeri serta bahagian dari seluruh negara.