Skip to main
Logo Malaysiakini

Kuala Selangor daerah angkat: Zafrul 'salah guna' MOF - DAP

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengumuman Menteri Kewangan Zafrul Abdul Aziz untuk menjadikan Kuala Selangor sebagai ‘daerah angkat’ kementeriannya dikritik kepimpinan DAP.

Setiausaha Agong DAP, Anthony Loke berkata tindakan tersebut menyalahgunakan Kementerian Kewangan.

“Zafrul tidak sepatutnya menggunakan kedudukannya sebagai menteri kewangan untuk memberi kelebihan pilihan raya kepada dirinya.

“Sepanjang saya menjadi ahli parlimen sejak 2008, saya tak pernah mendengar ada mana-mana kementerian mengamalkan pendekatan "daerah angkat".

“Sesebuah kementerian perlu merangka dasar dan menyampaikan perkhidmatan kepada seluruh negara dan bukan mana-mana satu kawasan tertentu," kata Loke pada satu kenyataan di Facebook.

Zafrul ketika berucap di Majlis Kenduri Rakyat Kuala Selangor di Puncak Alam malam tadi mengumumkan hasratnya untuk menjadikan Kuala Selangor sebagai 'Daerah Angkat' Kementerian Kewangan.

"Saya secara peribadi sememangnya sedikit sentimental dengan daerah Kuala Selangor ini," kata Zafrul, lapor Bernama.

Bagaimanapun, Zafrul menjelaskan kementeriannya tidak memihak kepada mana-mana daerah tertentu di negara ini dan malu dengan khabar angin mengenai hasratnya bertanding bagi kerusi parlimen Kuala Selangor.

Pada majlis tersebut juga, Zafrul turut mengumumkan projek pembinaaan stesen Jajaran Utara Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Puncak Alam.

Mengulas lanjut, Loke yang juga bekas menteri pengangkutan berkata Zafrul tidak patut menggunakan kedudukannya sebagai menteri kewangan untuk memberi kelebihan kepada dirinya untuk bertanding di kawasan tertentu.

Loke berkata kelulusan untuk sesebuah stesen keretapi juga bukan di bawah bidang kuasanya sebagai menteri Kewangan.

“Kelulusan untuk "railway scheme" adalah di bawah tanggungjawab Agensi Pengangkutan Awam Darat yang merupakan agensi di bawah kementerian pengangkutan,” katanya.

Menurut laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar untuk projek ECRL, stesen Puncak Alam disenaraikan sebagai "sementara", bersama-sama dengan stesen Kapar.

ECRL merupakan projek infrastruktur terbesar Malaysia - pada masa ini diunjurkan menelan belanja RM50 bilion - dan akan menghubungkan pantai timur Semenanjung Malaysia dengan Pelabuhan Klang.

Segmen ECRL Lembah Klang akan mengikut jajaran utara, mengelakkan kebanyakan kawasan dengan penduduk yang padat.

[Baca berita asal]