Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua maut, kemalangan empat kenderaan di Jasin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dua maut dan dua cedera ringan dalam kemalangan melibatkan tiga motosikal dan sebuah kereta dipercayai dipandu pemandu mabuk di Jalan Serkam Pantai, Merlimau, Jasin pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Supt Amran @ Mohamad Zaki Omar berkata mangsa yang maut di tempat kejadian adalah penunggang motosikal, Ezuddin Mohammad, 50, serta pemboncengnya Surayah Muhamat, 48, dalam kemalangan yang berlaku pada 7.45 pagi.

"Siasatan awal mendapati, motosikal yang ditunggang Ezuddin bersama Surayah dan sebuah lagi motosikal ditunggang Ya’akob Mohamad, 57, dalam perjalanan dari arah Melaka menuju ke arah Merlimau manakala kereta Perodua Myvi dari arah Merlimau menghala ke Melaka.

“Sebuah lagi motosikal ditunggang seorang wanita, diletakkan di bahu jalan kerana membeli sarapan di sebuah gerai,” katanya dalam kenyataan di Melaka, semalam.

Beliau berkata sebaik sampai di lokasi kejadian, pemandu kereta berkenaan yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal ditunggang Ezuddin dan Ya’akob.

Katanya Perodua Myvi itu turut melanggar motosikal yang diletakkan di bahu jalan sebelum merempuh sebuah rumah.

Amran berkata Ezuddin dan Surayah meninggal dunia di lokasi kejadian setelah cedera parah di bahagian kepala serta badan manakala Ya’akob yang mengalami kecederaan ringan di bahagian badan dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata pemandu kereta itu turut cedera di bahagian muka dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- Bernama