Skip to main
Logo Malaysiakini

PGA Sarawak rampas 11,700 telur penyu bernilai lebih RM100,000

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas 13 kotak mengandungi 11,700 biji telur penyu bernilai RM109,250 dan menahan dua lelaki tempatan berusia 31 dan 37 melalui operasi bersepadu Op Khazanah, Sabtu lepas.

Komander PGA Briged Sarawak SAC Dr Che Ghazali Che Awang dalam satu kenyataan hari ini berkata rampasan terbaru ini dilakukan di sebuah premis di Lawas, 1,045km ke utara dari Kuching, kira-kira pukul 10 pagi Sabtu lepas.

Menurutnya kedua-dua suspek yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda ditahan sepasukan anggota dari Kompeni C Batalion 12 PGA Sarawak di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Merapok di Lawas sebelum telur-telur penyu dijumpai dalam kenderaan berkenaan.

"Kesemua telur penyu tersebut dipercayai untuk dipasarkan ke negara jiran,” katanya sambil menambah kenderaan yang digunakan dianggarkan bernilai RM80,000, turut dirampas.

Beliau berkata kedua-dua suspek dan barang rampasan itu telah diserahkan kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) Lawas untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 29(1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998.

Dalam kejayaan lain, Che Ghazali berkata PGA Sarawak menemukan selaras senapang angin bernilai RM800 di sebuah kawasan semak di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia berdekatan Telok Melano, kira-kira 137km ke barat dari Kuching semasa rondaan di bawah Op Batas kelmarin.

Walau bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat berhubung kes berkenaan selepas pasukan rondaan sempadan dari Batalion 11 PGA yang menjumpai senjata itu mendapati tiada sesiapa yang datang untuk mengambilnya selepas mereka menunggu kira-kira sejam.

Beliau berkata menerusi Op Batas dari 30 Mei hingga kelmarin, PGA Sarawak merekodkan tiga kes pengusiran pendatang asing di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan, Indonesia melibatkan 21 individu terdiri dari 17 lelaki dan empat perempuan berumur antara 10 dan 63 tahun.

Menurutnya, PGA Sarawak mencatatkan jumlah rampasan bernilai RM1.4 juta dan sembilan tangkapan sepanjang Op Bersepadu Khazanah berlangsung dari awal tahun ini sehingga kelmarin.

“Op Batas telah mencatatkan kejayaan rampasan bernilai RM1.1 juta dengan merekodkan 104 kes melibatkan jumlah tangkapan seramai 370 orang terdiri dari 24 warganegara tempatan dan 346 pendatang asing, termasuk 301 pendatang asing yang diusir balik ke negara asal,” tambahnya.

- Bernama