India cuba tenangkan kemarahan selepas pegawai BJP hina Nabi
GLOBAL l Kerajaan India berusaha untuk meredakan kemarahan di dalam dan luar negara selepas kenyataan menghina oleh pegawai parti pemerintah India, BJP mengenai Nabi Muhammad SAW.
Reuters melaporkan sekurang-kurangnya 38 orang ditangkap kerana merusuh di beberapa bandar di utara negara itu manakala protes dirancang kemudian di Mumbai.
Tangkapan di bandar Kanpur adalah sebahagian daripada usaha untuk meredakan ketegangan agama yang timbul selepas dua pegawai dari parti nasionalis Hindu, BJP pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi membuat kenyataan yang telah menimbulkan kemarahan meluas di kalangan umat Islam di India dan luar negara.
Beberapa pegawai tinggi India sedang terlibat dalam menguruskan keretakan hubungan diplomatik ketika negara termasuk Qatar, Arab Saudi, Oman, UAE, Afghanistan, Pakistan dan Iran menuntut permohonan maaf daripada kerajaan India kerana membenarkan kenyataan menghina itu, kata seorang pegawai kementerian luar India.
Sepanjang hujung minggu, beberapa diplomat India yang ditempatkan di Negara-negara Teluk dan negara-negara Islam yang berjiranan telah dipanggil oleh pegawai di negara tersebut yang membantah komen oleh pegawai BJP.
Sementara itu, AFP melaporkan pelbagai negara mula memanggil perwakilan New Delhi, malah sebuah pasar raya di Kuwait memunggah keluar produk India dari rak jualannya.
Pekerja di pasar raya memunggah teh serta produk lain buatan India, keluar dari rak jualan bagi membantah kenyataan itu yang disifatkan sebagai 'Islamofobia'.
UAE muncul antara negara terkini mengecam kenyataan itu, dengan menegaskan ia 'bertentangan dengan prinsip serta nilai moral dan kemanusiaan.'
Kementerian Luar UAE menekankan akan 'perlunya menghormati simbol agama dan menentang ucapan kebencian'.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai