Skip to main
Logo Malaysiakini

'Dengan parti baru, lebih senang putuskan pertahan Ampang atau tidak'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin berkata keputusan sama ada untuk mempertahankan kerusi itu atau tidak dalam PRU15 kini lebih mudah untuk dibuat.

Ia selepas dia keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

"Insya-Allah sebab saya masuk parti baru, jadi lebih senang untuk buat keputusan," katanya kepada pemberita sambil ketawa.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu ditemui selepas melancarkan acara Dana Global untuk Inovasi Getah oleh Majlis Getah Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Zuraida telah menjadi ahli parlimen sejak 2008 ketika bersama PKR.

Namun dia mengambil keputusan untuk keluar parti itu dan menyertai Bersatu dua tahun lalu.

Dia mengumumkan keluar Bersatu pada 26 Mei lalu, di tengah siasatan jawatankuasa disiplin parti itu berhubung penglibatannya dalam PBM.

PBM kali pertama menyertai pilihan raya adalah pada PRN Johor, di mana mereka hilang deposit di kesemua empat kerusi yang ditandingi.

Prerogatif Ismail Sabri

Sementara itu, Zuraida tidak menjawab secara jelas berhubung peranan yang akan dimainkannya dalam parti baru itu, dan berkata permohonannya untuk menyertai parti itu masih dalam proses.

Berkenaan kedudukannya dalam kabinet, dia berkata ia merupakan prerogatif Perdana Menteri Ismail Sabri untuk mengekalkannya atau tidak.

Zuraida berkata dia dijadualkan bertemu Ismail dalam minggu ini.