Skip to main
Logo Malaysiakini

Kenapa festival Bon Odori perlu jadi isu sekarang?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad dibidas susulan nasihatnya supaya umat Islam tidak menyertai festival Bon Odori yang akan berlangsung pada 16 Julai ini atas alasan majlis itu didapati mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.

Dalam satu kenyataan, Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam Muhammad Shakir Ameer berkata festival Bon Odori telah diadakan di Malaysia selama lebih dari 30 tahun lalu dan tidak mengandungi pengaruh atau ritual agama lain yang boleh menyesatkan umat Islam.

“Dari pemahaman saya, tarikan utamanya ialah unsur muziknya seperti tarian dan gendang... Kenapa ia perlu jadi isu sekarang?

“Umat Islam harus diberi peluang untuk menilai sendiri diri tentang pelbagai sambutan perayaan kebudayaan di Malaysia.

Muhammad Shakir Ameer, Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam

“Kita tidak boleh benarkan pendapat pemimpin PAS daripada menghalang kita sebagai rakyat Malaysia daripada mempamerkan kepelbagaian budaya,” kata Shakir.

Festival Bon Odori dianggap sebagai antara festival yang paling penting bagi masyarakat Jepun dan disambut pada setiap bulan Julai.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk tarian, nyanyian, persembahan dram dan gendang Jepun dengan tumpuan kepada tarian Obon.

Di Malaysia, acara tahunan Bon Odori dianjurkan di Pulau Pinang, Sabah dan Selangor.

Festival yang diadakan di Selangor - sering dilihat sebagai yang terbesar di luar Jepun, yang dianjurkan oleh antaranya Kelab Jepun Kuala Lumpur dan Kedutaan Jepun, serta mendapat sokongan kerajaan negeri Selangor.

Festival tahunan itu diadakan di Kompleks Sukan Negara, Shah Alam.

Aktiviti daripada festival tersebut yang sering dinantikan-nantikan adalah tarian mengelilingi pentas diiringi muzik. Pada masa yang sama, terdapat gerai-gerai yang menjual makanan Jepun ketika festival itu berlangsung.

Menurut Idris, kajian yang dijalankan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) mengesahkan Bon Odori mengandungi pengaruh keagamaan lain.

Jadi kami nasihatkan orang Islam tidak menyertainya atau apa-apa juga program yang membabitkan soal agama serta akidah, katanya yang dipetik oleh Bernama.

Mengulas lanjut, Shakir menegaskan bahawa festival Bon Odori, yang diraikan di Malaysia lebih menjurus kepada acara kebudayaan dan komersial berbanding acara keagamaan.

"Bon Odori telah disambut selama lebih 30 tahun di Malaysia. Sepanjang tahun ia telah dikomersialkan dan diraikan melalui pusat komersial atau komuniti untuk masyarakat yang bukan dari Jepun juga.

"Di Malaysia kita juga mempunyai ramai peminat Manga dan anime melalui pengaruh Jepun," katanya.

Dia menambah bahawa festival itu juga simbolik hubungan rapat antra Malaysia dengan Jepun, dan Shah Alam menjadi tuan rumah kepada banyak pelaburan berkaitan Jepun, sambil memetik syarikat-syarikat gergasi seperti Panasonic, Sharp, JTI dan Shin-Etsu Chemical.

“Hubungan diplomatik yang kukuh bukan saja akan mewujudkan perkongsian ilmu dalam teknologi tetapi juga akan menggalakkan pertukaran budaya untuk kedua-dua negara.

"Ini adalah sesuatu yang parti seperti PAS tidak faham. Mereka hanya ambil tahu untuk menilai orang lain dan tidak lihat pada skop yang lebih besar mengenai pembinaan negara," kata Shakir.