Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib minta saya tak campur hal 1MDB: Bekas menteri kewangan II

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas menteri kewangan II Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah memberi keterangan hari ini bahawa dia cuba memberi amaran kepada bekas perdana menteri Najib Razak mengenai penubuhan 1MDB tanpa kajian kebolehlaksanaan.

Saksi pendakwaan ke-20 itu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dia cuba menasihati Najib daripada melibatkan 1MDB dalam pelaburan dengan Petrosaudi International Limited (PSI).

Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Tambun itu mendakwa Najib yang merupakan perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu, tidak mengendahkan nasihatnya berhubung 1MDB.

“Saya menyatakan bahawa ‘1MDB tidak mempunyai pengalaman dalam bidang itu dan ia hanya perlu diberikan kepada (syarikat minyak nasional Malaysia) Petronas’.

“Tetapi PM menjawab saya dengan ‘Husni, saya tidak mahu anda terlibat dan campur tangan mengenai 1MDB’.

“Selepas PM menjawab begitu kepada saya, saya tidak membalas lagi. Saya mengesahkan bahawa pertemuan antara saya dan PM adalah di pejabat PM dan sejak itu, saya langsung tidak terlibat dalam sebarang keputusan atau dimaklumkan mengenai pelaburan berkaitan 1MDB,” dakwa Husni mengenai pertemuan 2009 itu.

Saksi itu memberi keterangan semasa perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion terhadap Najib petang tadi.

Sebelum ini semasa perbicaraan berasingan kes rasuah RM42 juta SRC International terhadap Najib pada 19 Ogos 2019, Husni selaku saksi pendakwaan turut memberi keterangan bahawa Najib memberitahunya untuk tidak terlibat dalam 1MDB. (SRC adalah bekas anak syarikat 1MDB).

Semasa perbicaraan rasuah RM2.28 bilion hari ini, saksi itu memberi keterangan bahawa pada 2009 (dia tidak ingat tarikh tertentu) berikutan keputusan kerajaan persekutuan untuk mengambil alih Terengganu Investment Authority (TIA, sebelum ditukar menjadi 1MDB) daripada Menteri Besar Terengganu Diperbadankan, dia telah menemui perdana menteri ketika itu untuk memberitahu tentang kepentingan kajian kebolehlaksanaan.

Husni berkata, dia memberitahu Najib bahawa kajian kebolehlaksanaan adalah penting kerana ia akan menilai projek yang berpotensi untuk sebarang risiko perniagaan dan kewangan yang penting dalam memastikan syarikat berkaitan kerajaan itu menjana wang untuk kerajaan persekutuan.

Saksi itu bagaimanapun mendakwa bahawa satu-satunya jawapan Najib terhadap perkara ini ialah 'dia akan teruskan' (bermakna pengambilalihan kerajaan persekutuan TIA akan diteruskan), dan meminta Husni berhenti mengulas mengenai perkara ini.

Kemudian pada 2009, Husni mendakwa dia mendengar daripada pegawai kementerian kewangan bahawa 1MDB akan menandatangani usaha sama (JV) dengan PSI.

Dilaporkan bahawa AS$700 juta dana 1MDB yang diperuntukkan bagi JV berkenaan telah dialihkan kepada Good Star Limited, sebuah entiti yang didakwa dikawal oleh ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low).

Husni hari ini memberi keterangan bahawa apabila dia bertemu semula dengan Najib untuk memberi amaran mengenai JV itu, perdana menteri ketika itu memberitahunya supaya tidak campur tangan.

Saksi itu mendakwa sejak itu, dia dijauhkan daripada pelbagai keputusan kewangan dan pelaburan di 1MDB.

Husni bagaimanapun mendakwa bahawa pada 23 Ogos 2010, dia sekali lagi menulis surat kepada Najib menyuarakan kebimbangan tentang cara 1MDB diuruskan sehingga ia boleh "mencetuskan kontroversi dan menjejaskan kerajaan dan perdana menteri".

“Bagaimanapun, selepas mengeluarkan surat itu, saya tidak menerima sebarang maklum balas daripada Najib berhubung kebimbangan saya.

“Saya merasakan sebagai MK II (menteri kewangan II), saya telah mengambil tanggungjawab untuk membangkitkan isu 1MDB,” dakwa Husni.

Saksi itu mendakwa bahawa pada awal 2015, Najib telah menghubunginya untuk membantu menyelesaikan masalah hutang 1MDB yang meruncing sebanyak RM49.895 bilion, yang mana dia mendakwa telah menimbulkan percanggahan pendapat kerana dibebani dengan tugas itu.

Husni mendakwa Najib tetap mahu dia membantu menyelesaikan isu hutang dana itu, dan dia kemudian cuba mendapatkan menteri di jabatan perdana menteri ketika itu Wahid Omar untuk mengambil alih tugas itu, tetapi Wahid tidak mahu.

Saksi itu berkata selepas itu, dia dan ketua setiausaha sulitnya ketika itu Imran Yasin Mohd Yusof bersama-sama merangka pelan rasionalisasi 1MDB.

Husni berkata, pada 2015, kabinet bersetuju dengan rancangan pencairan aset 1MDB, kecuali yang melibatkan 30 peratus ekuiti dalam Edra, 40 peratus dalam TRX dan 40 peratus di Bandar Malaysia, mengakibatkan pengurangan hutang kepada RM5.3 bilion.

Kabinet mengarahkan rancangan rasionalisasi itu dilaksanakan oleh 1MDB.

[Baca berita penuh]