Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Kenyataan singgung perasaan tidak wakili pendirian k’jaan India’

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pejabat Suruhanjaya Tinggi India ke Malaysia menegaskan bahawa kenyataan dua wakil dari Parti Bharatiya Janata (BJP) yang menghina Islam tidak mewakili pendirian kerajaan yang memerintah India.

Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia BN Reddy telah mengadakan pertemuan bersama Kementerian Luar Malaysia di Putrajaya selepas kebimbangan dibangkitkan berkenaan dengan beberapa kenyataan menghina yang dibuat oleh ahli politik BJP di India.

"Pesuruhjaya Tinggi menyatakan bahawa ciapan atau komentar yang menyinggung perasaan dalam apa-apa cara, tidak mewakili pandangan kerajaan India.

"Kerajaan India memberikan penghormatan tertinggi kepada semua agama dan tindakan tegas telah diambil oleh pihak yang prihatin terhadap mereka yang membuat kenyataan menghina," kata satu kenyataan oleh Suruhanjaya Tinggi India.

Pemimpin parti pemerintah nasionalis Hindu India semalam mengarahkan pegawai supaya "sangat berhati-hati" apabila bercakap mengenai agama di platform awam selepas kenyataan menghina Nabi Muhammad mendapat bantahan daripada negara Islam.

Pemimpin BJP berkata arahan lisan itu diberikan kepada lebih 30 pegawai kanan dan beberapa menteri persekutuan yang diberi kuasa untuk mengambil bahagian dalam perbahasan yang dihoskan oleh saluran berita India sering disiarkan secara langsung kepada berjuta-juta penonton.

"Kami tidak mahu pegawai parti bercakap dengan cara yang menyakitkan sentimen agama mana-mana komuniti. Mereka mesti memastikan doktrin parti dikongsi dengan sofistikated," kata seorang pemimpin kanan BJP dan menteri persekutuan di New Delhi.

Minggu lalu BJP menggantung jurucakap Nupur Sharma dan memecat seorang lagi pegawai parti selepas negara-negara Islam menuntut permohonan maaf daripada kerajaan India dan memanggil diplomat untuk membantah kenyataan anti-Islam yang dibuat semasa perbahasan TV.

Qatar, Arab Saudi, Oman, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia, Afghanistan, Pakistan dan Iran adalah antara negara yang membuat aduan mereka kepada umum.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) 57 anggota yang berpengaruh itu mendakwa dalam satu kenyataan bahawa penghinaan itu datang dalam konteks suasana kebencian yang semakin sengit terhadap Islam di India dan gangguan sistematik terhadap umat Islam.

Walaupun parti Narendra Damodardas Modi itu menafikan ketegangan kaum kaum meningkat sepanjang tempoh dia menjadi perdana menteri, kerajaan BJP menjadikan kumpulan pelampau Hindu mengambil jalan sendiri atas nama membela agama mereka, dan menyebabkan sentimen anti-Muslim meluas.

Protes berskala kecil telah meletus di beberapa bahagian di India ketika kumpulan Islam menuntut Sharma ditangkap.