Skip to main
Logo Malaysiakini

Antiviral Paxlovid akan diberi di hospital swasta secara percuma

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ubat antiviral Paxlovid akan digunakan untuk merawat Covid-19 di hospital swasta, berikutan kejayaan penggunaannya di kemudahan kesihatan kerajaan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Jelasnya, antiviral Paxlovid akan ditawarkan kepada pesakit secara percuma di hospital swasta.

“Bagaimanapun, pesakit masih tertakluk kepada caj perkhidmatan perundingan dan caj lain yang berkaitan yang ditentukan oleh kemudahan kesihatan swasta,” kata Khairy dalam satu kenyataan hari ini.

Khairy berkata mereka mula menggunakan Paxlovid di kemudahan kesihatan kerajaan pada 15 April 2022, dan ia diutamakan untuk pesakit Covid-19 berisiko tinggi.

Sehingga 5 Jun 2022, seramai 1,364 pesakit telah menerima Paxlovid dan telah pulih sepenuhnya tanpa sebarang kesan sampingan yang teruk dilaporkan.

Menurut Khairy, peluasan rawatan Paxlovid ke kemudahan kesihatan swasta adalah untuk memastikan akses yang lebih baik untuk pesakit di Malaysia.

Dalam satu kenyataan berasingan hari ini, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Dr Kuljit Singh berkata mereka mengalu-alukan pengumuman ini, kerana mereka akan dapat merawat Covid-19 dengan lebih berkesan.

“Pesakit yang mendapatkan rawatan Covid-19 di hospital swasta akan mendapat pemulihan yang lebih baik dan mengurangkan kebarangkalian untuk masuk ke Tahap Empat dan Lima,” katanya.

Dia juga menegaskan bahawa tiada caj dikenakan untuk rawatan Paxlovid, selain daripada caj perundingan dan caj hospital lain.

"Pakar swasta akan mengikut garis panduan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan mengenai preskripsi ubat ini," tambah Kuljit.

Sementara itu, Khairy berkata Kementerian Kesihatan akan mula menggunakan ubat antibodi monoklonal Tixagevimab ditambah Cilgavimab (Evusheld) di hospital kerajaan tidak lama lagi, dalam usaha mereka memastikan kumpulan berisiko tinggi terus dilindungi daripada Covid-19.

Penyelidikan telah menunjukkan bahawa ubat Evusheld boleh melindungi penerima daripada dijangkiti Covid-19 sehingga enam bulan selepas suntikan.

“Buat masa ini, Evusheld hanya akan diberikan di hospital kerajaan dan ia boleh digunakan sebagai profilaksis pra-pendedahan (PrEP) bagi mereka yang berisiko tinggi untuk Covid-19 tetapi masih belum dijangkiti,” kata Khairy.

Kriteria pemilihan pesakit untuk menerima ubat ini adalah bagi mereka yang berumur 12 tahun dan ke atas, dengan berat melebihi 40kg dan dianggap sebagai antara kumpulan yang 'immunocompromised' sederhana hingga teruk serta mereka yang tidak boleh menerima vaksinasi atas sebab perubatan.

Evusheld akan diberikan melalui dua suntikan intramuskular yang berasingan, iaitu komponen Tixagevimab dan Cilgavimab.