Skip to main
Logo Malaysiakini

Zafrul: Saya fokus tugas di kementerian, tak fikir isu politik

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata dia tidak memikirkan isu politik termasuk khabar angin akan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor kerana tumpuannya sekarang adalah terhadap usaha pemulihan ekonomi negara.

"Sekarang ini masih lagi pada tugas di MOF (Kementerian Kewangan), tidak ada memikirkan isu politik. Isu yang sedang dihadapi (sekarang) dalam pemulihan negara dan fokus kepada tugas kita," katanya.

Zafrul berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis hari raya di Putrajaya hari ini mengenai khabar angin bahawa dia menyasarkan kerusi Parlimen Kuala Selangor sebagai lokasi penampilan sulungnya dalam PRU15 atas tiket Umno.

Dilaporkan pemilihan Kuala Selangor sebagai "daerah angkat" MOF dan kekerapan turun ke kawasan itu menjadi petanda bahawa Tengku Zafrul akan bertanding di kawasan itu pada pilihan raya akan datang.

Namun ketika ditanya lebih lanjut hasratnya untuk bertanding, Tengku Zafrul berkata : "Bukan pada masa ini.”

Kerusi Parlimen Kuala Selangor kini disandang Dr Dzulkefly Ahmad daripada Amanah, yang sebelum ini dilaporkan berkata tidak akan bertanding pada PRU15 kerana mahu memberi peluang kepada pemimpin muda partinya.

-Bernama