Skip to main
Logo Malaysiakini

'Sanggupkah Mohd Sidek pulangkan gaji dari 1MDB?'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas ketua setiausaha negara Mohd Sidek Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa 1MDB membayarnya RM30,000 sebulan sebagai ahli lembaga penasihat 1MDB.

Bagaimanapun, seorang ahli parlimen DAP berkata ada sesuatu yang boleh dia lakukan sekarang - mengembalikan jumlah terkumpul dalam tempoh lima tahun dia menerima gaji itu.

"Adakah dia berbangga kerana mempunyai jawatan sedemikian di mana dia tidak perlu menghadiri mesyuarat atau melakukan kerja?

“Adalah penting untuk membangkitkan persoalan memulangkan wang itu memandangkan dia mengaku tidak melakukan apa-apa kerja semasa berada dalam lembaga pengarah 1MDB.

"Adakah dia sanggup berbuat demikian?" soal Lim Lip Eng dalam satu kenyataan petang ini.

Lim, yang merupakan Ahli Parlimen Kepong, berkata Mohd Sidek perlu memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai kelakuannya.

"Sesiapa pun akan curiga jika dia dibayar kerana tidak berbuat apa-apa. Tidakkah Mohd Sidek rasa bersalah? Dia tidak pernah bertanya soalan mengenai siasatan ke atas 1MDB selama lima tahun.

"Dalam tempoh itu, tidakkah dia sedar ada sesuatu yang tidak kena?" soalnya.

Pendedahan Mohd Sidek, kata Lim, menekankan keperluan untuk Putrajaya mendedahkan jumlah jawatan seumpamanya dalam agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan.

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi Mohd Sidek merupakan seorang penjawat awam (ketika itu) yang berkuasa dan mempunyai pengaruh terhadap penjawat awam yang lain,” katanya lagi.

Semalam, Mohd Sidek berkata dia dibayar sekitar RM30,000 sebulan untuk menganggotai lembaga penasihat 1MDB dari 1 Julai 2010 hingga 23 Jun 2012 ketika masih menjadi ketua setiausaha.

Dia dikekalkan sebagai ahli lembaga pengarah selepas bersara RM10,000 sebulan sehingga Jun 2015 apabila dilantik sebagai pengerusi Petronas.

Mohd Sidek berkata dia tidak pernah diberi taklimat mengenai 1MDB mahupun menyertai perbincangan berhubung syarikat itu.

Tambahnya, dia tidak pernah bertanya kepada Najib Razak - perdana menteri pada masa itu - mengenai 1MDB kerana dia faham bahawa firma itu bertujuan untuk membiayai BN.

Mohd Sidek memberi keterangan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah yang mempengerusikan perbicaraan terhadap Najib atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB.