Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu Bon Odori: Ada motif politik ke? soal bekas peserta

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sejak tahun 1977, Malaysia telah menyambut Festival Bon Odori, suatu acara kebudayaan Jepun yang mempromosikan jalinan hubungan dua negara dengan menampilkan makanan, seni dan tarian dari negara matahari terbit itu.

Tahun ini, Festival Bon Odori akan diadakan di Kompleks Sukan Shah Alam di Selangor pada 16 Julai depan. Ia dibatalkan sejak dua tahun lalu kerana pandemik.

Bagaimanapun, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad pada 6 Jun lalu menasihatkan umat Islam supaya tidak menyertai Festival Bon Odori kerana didapati mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata umat Islam tidak patut menyertai acara itu kerana boleh membawa kepada syirik.

Tidak puas hati dengan larangan dan kenyataan yang dikeluarkan pihak berwajib berhubung sambutan festival terbabit, peserta Bon Odori tampil meluahkan rasa ketidakpuasaan hati mereka.

Salah seorang daripadanya ialah Ahmad Zaidi Masri, 44.

Ahmad Zaidi, 43 bekas pelajar tajaan JPA di Jepun dan kini merupakan seorang usahawan rangkaian burger di Malaysia mempersoalkan kenapa larangan tersebut dibuat sekarang.

"Bon Odori sudah berlangsung di Malaysia selama 40 tahun. Ia adalah acara kebudayaan Jepun di Malaysia, yang mana gadis-gadis akan memakai Yukata (Kimono musim panas) dan amatlah ayu.

"Takkanlah selama 40 tahun ia dilangsungkan di Malaysia, tiada tok guru yang sedar tentang keterpesongan aqidahnya? Ada motif politik ke," soalnya.

Menurut Ahmad Zaidi, dia dan keluarganya meraikan festival terbabit hanyalah untuk belajar budaya negara matahari terbit itu.

"Kami pergi Bon Odori untuk belajar budaya Jepun sambil makan Takoyaki dan Onigiri.

"Secara teknikalnya "Obon" atau upacara sebenar berlangsung setiap pertengahan bulan Ogos, jadi tarikh 16 Julai ini tak sampailah ketulenannya," katanya.

Pada asalnya, Bon Odori merupakan upacara mengingati nenek moyang di Jepun sejak 500 tahun lalu, yang telah berkembang menjadi festival kebudayaan bagi menyatukan semula keluarga dan rakan.

Menteri bimbang perkara remeh-temeh

Mengulas dakwaan peserta festival itu terpesongnya akidahnya, Ahmad Zaidi berharap pihak yang berkenaan tidak bersusah payah dalam perkara-perkara remeh.

“Menteri kata jangan pergi Bon Odori, takut terpesong akidah.

"Aku harap menteri yang sama itu jugak bersusah payah guna otak untuk bantu rakyat supaya hidup lebih selesa, bukan bimbangkan perkara-perkara remeh.

"Syubhah? Anugerah Juara Lagu (AJL), slot Samarinda (TV3), artis-artis bukan mahram pegang-pegang, peluk-peluk, poco-poco, wayang kulit, kuda kepang semua itu macam mana," soalnya.

"Cubalah sekali sekala tok menteri bagi idea perniagaan ke, sains dan teknologi ke atau cara atasi hiper-inflasi ke," tegasnya.

Gambar fail.

Sementara itu, seorang lagi peserta yang hanya mahu dikenali sebagai Rizal berkata dia menghadiri festival Bon Odori kali pertama atas kapasiti membuat tugasan akhir pengajiannya, sembilan tahun lalu.

Dia yang mengambil jurusan Executive Diploma in Creative Photography and Digital Imaging di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berasa seronok dapat menyertai upacara kebudayaan rakyat Jepun itu.

"Pengalaman seronok bertemu rakan jurugambar dan juga kenalan orang Jepun yang menghadiri festival ini.

“Rasa teruja bila rakan sekerja di syarikat saya berkerja yang dimiliki oleh Jepun, AMANO Malaysia Sdn Bhd telah memberikan kesempatan dengan saya untuk merakam gambar festival ini dengan lebih dekat lagi.

“Di mana persiapan orang Jepun sendiri yang berkerja serta menetap di Malaysia yang meraikan festival ini bersama keluarga mereka di kediaman mereka," katanya.

Menurut Rizal yang sudah enam kali menyertai festival itu mendapati ia cuma sekadar perayaan kebudayaan yang mempunyai akar adat resam Jepun.

"Setahu saya setelah bertanya kepada rakan sekerja orang Jepun. Festival ini bukanlah perayaan agama tetapi perayaan adat dan budaya.

"Bagi orang Jepun, Bon Odori ini adalah satu perayaan sejak nenek moyang mereka lagi untuk meraikan orang atau bangsa Jepun yang merantau keluar negara dari Jepun.

"Untuk mencari rezeki atau urusan lain sama ada yang masih hidup mahu pun yang sudah meninggal dunia," katanya.

Rizal berkata peserta perayaan tersebut akan menari dengan alunan gendang dalam bulatan yang mengelilingi pemukul gendang.

"Waktu kemuncak persembahan adalah waktu matahari terbenam. Manakala pakaian, bukanlah wajib untuk memakai pakai tradisional Jepun tetapi mereka memakainya kerana bangga dengan pakaian tradisi mereka," katanya.

Rizal juga mengulas kenyataan menteri di JPM kepada umat Islam di negara ini yang mengatakan kajian Jakim mendapati Festival Bon Odori mempunyai unsur keagamaan Buddha Jepun.

"Mereka (rakyat Jepun) juga tidak ada bangkangan jika ada penduduk setempat yang bukan di kalangan orang Jepun serta bukan dari agama mereka untuk menyertainya.

Sultan Selangor titah jangan sekat

"Kerana, kesimpulannya Bon Odori ini satu festival budaya bukan keagamaan.

"Jika menteri agama Malaysia menasihatkan sebegitu, maka harus dibahaskan dahulu. Pada saya menteri agama hanya memberikan pendapat serta nasihat.

"Maka boleh dibincangkan untuk mencari sesuatu jawapan yang baik kepada pendapat ini," tegasnya.

Bagaimanapun, semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak menyekat program kebudayaan Jepun Bon Odori di Shah Alam pada 16 Julai ini.

Pengarah Jais Mohd Shahzihan Ahmad berkata demikian setelah menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan.

"Duli Yang Maha Mulia Tuanku tidak berkenan apa-apa keputusan atau ketetapan tentang perkara seumpana ini disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian yang mendalam,” kata Shahzihan.

Shahzihan berkata, baginda berpendirian, “banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama, tetapi tidak semestinya agama ada dalam budaya”.

Dalam pada itu, seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Aiman berkata dia pernah hadir ke festival tersebut kerana mahu menyaksikan sendiri budaya rakyat Jepun.

"Saya pergi ke sana dengan kawan-kawan pada tahun 2019. Trafik memang teruk dan sangat sukar untuk mendapatkan tempat letak kereta.

"Terdapat begitu banyak trak makanan dan gerai yang menjual masakan tempatan dan Jepun. Beberapa gerai juga menjual pakaian dan aksesori tradisional Jepun untuk mereka yang datang saat akhir untuk menyertai festival terbabit dan kemudian kami menyertai tarian dan menyanyi bersama-sama.

"Kami datang untuk merasai keseronokan festival terbabit. Belajar tentang budaya. Dan kebanyakannya hanya untuk keluar hang out bersama kawan-kawan," katanya.

Tambah Aiman, apa yang menarik perhatiannya, meskipun festival terbabit dianjurkan oleh bangsa asing namun mereka tetap prihatin dengan keperluan pesertanya yang beragama Islam.

Penganjur sedia ruang solat Islam

Jelas Aiman, penganjur telah menyediakan ruang solat untuk mereka yang hadir menunaikan kewajipan sebagai seorang umat Islam.

"Saya sentiasa percaya bahawa apa yang penting ialah niat saya," katanya ringkas.

Festival Bon Odori dianggap sebagai antara festival yang paling penting bagi masyarakat Jepun dan disambut pada setiap bulan Julai.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk tarian, nyanyian, persembahan dram dan gendang Jepun dengan tumpuan kepada tarian Obon.

Di Malaysia, acara tahunan Bon Odori dianjurkan di Pulau Pinang, Sabah dan Selangor.

Festival yang diadakan di Selangor - sering dilihat sebagai yang terbesar di luar Jepun, yang dianjurkan oleh antaranya Kelab Jepun Kuala Lumpur dan Kedutaan Jepun, serta mendapat sokongan kerajaan negeri Selangor.

Festival Bon Odori ke-46 tahun ini akan berlangsung di Kompleks Sukan Negara, Shah Alam.

Ia anjuran bersama The Japan Club of Kuala Lumpur, The Japanese School of Kuala Lumpur dan Kedutaan Jepun, dengan kerjasama Alumni Persatuan Polisi Pandang Ke Timur (ALEPS), Japan Graduates Association of Malaysia (JAGAM), Dewan Perdagangan dan Perindustrian Jepun Malaysia (JACTIM) dan Tourism Selangor Sdn Bhd.