Pemimpin DAP saran heret bekas KSN ke tribunal khas
Seorang pemimpin DAP menggesa semua ahli parlimen supaya mendesak penubuhan sebuah tribunal khas bertujuan untuk menyiasat pendedahan Mohd Sidek Hassan yang dia dibayar RM30,000 sebulan sebagai ahli lembaga penasihat 1MDB tanpa perlu menghadiri sebarang mesyuarat.
Dalam kenyataan media hari ini, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP Sheikh Umar Bagharib Ali berkata Sidek adalah ketua setiausaha negara (KSN) ketika itu dan jika perkara itu tidak dibendung, maka ia akan mencemarkan nama baik perkhidmatan awam.
"Saya menyeru kepada semua ahli-ahli Parlimen untuk bersuara di Parlimen dan mendesak suatu tribunal khas dibentuk bertujuan untuk menyiasat pendedahan KSN ini. Jika terbukti benar maka suatu tindakan tatatertib boleh dibuat terhadap bekas KSN dan mereka yang terlibat.
“Tindakan ini penting sebagai langkah pencegahan agar ia dapat dibendung dan tidak berterusan. Integriti serta imej penjawat awam di Malaysia mesti terus dipelihara dan dipulihara.
“Sekalipun jika Sidek sanggup memulangkan kembali jutaan ringgit wang yang beliau terima itu, ia tidak dapat membersihkan nama baik penjawat awam dan institusi kerajaan yang telah tercemar teruk.
“Hanya dengan mewujudkan satu tribunal khas untuk menyiasat dan membuat dakwaan salahlaku ini, akan dapat mengembalikan maruah institusi penjawat awam seluruh negara," katanya.
Selasa lalu, KSN itu memaklumkan dirinya dibayar sekitar RM30,000 sebulan untuk menganggotai lembaga penasihat 1MDB dari 1 Julai 2010 hingga 23 Jun 2012 ketika masih menjadi ketua setiausaha negara.
Dia dikekalkan sebagai ahli lembaga pengarah selepas bersara dengan bayaran RM10,000 sebulan sehingga Jun 2015 apabila dilantik sebagai pengerusi Petronas.
Sidek turut memberitahu mahkamah bahawa perdana menteri ketika itu Najib Razak melantiknya sebagai ahli lembaga pengarah. Sidek adalah saksi pendakwaan dalam perbicaraan terhadap Najib atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB.
Berdasarkan keterangan Sidek, Syeikh Umar menganggarkan bekas KSN itu meraih sekitar RM1 juta yuran untuk tidak perlu berbuat apa-apa.
“Sebagai KSN yang berpengalaman dan berpengetahuan luas dalam hal ehwal pentadbiran awam, adakah beliau sedar bahawa peranan dan bayaran yang diterimanya itu adalah salah dari segi etika kerja penjawat awam?
“Beliau turut menyedari syarikat 1MDB yang ditubuhkan menggunakan dana kerajaan - yang tentulah datangnya dari poket rakyat - adalah bertujuan untuk dana kepada parti politik.
“Keadaan ini mendatangkan persoalan baharu; bagaimana seorang KSN yang sudah tentu mengetahui bahawa cara ini adalah bertentangan dengan etika pentadbiran kerajaan, hanya berdiam diri dan membiarkannya sahaja.
“Bayangkan jika BN masih memerintah selepas PRU14, pasti kumpulan ini terus menikmati wang-wang dari sumber tidak bermoral sebegini,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai