Skip to main
Logo Malaysiakini

Saksi: Bank tak terima halangan untuk pindah wang 1MDB ke Petrosaudi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa tiada sebarang halangan diterima oleh banknya, untuk melakukan transaksi pemindahan wang berjumlah AS$110 juta daripada 1MDB kepada syarikat perkhidmatan minyak dan gas Petrosaudi International Ltd (PSI) pada Mei 2011.

Pembantu Naib Presiden di Bahagian Operasi Pasaran Global Deutsche Bank (Malaysia) Berhad Fatehah Md Salleh, 39, berkata pada 27 Mei 2011, pihaknya telah menerima dokumen daripada ‘front office’ bahagian Pasaran Global berkaitan arahan pembayaran pertukaran mata wang asing untuk 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-22 itu berkata arahan pembayaran berkenaan adalah kepada Bank JP Morgan Chase New York ke akaun RBS Coutts Bank Ltd, untuk dikreditkan ke akaun bernombor 11116073.

Akaun tersebut didakwa dimiliki oleh PSI, melalui surat yang ditandatangani oleh CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

“Seterusnya, pihak kami memulakan pemeriksaan latar belakang pemilik akaun melalui sistem PCR dan sistem ‘HotScan’ terhadap PSI dan RBS Coutts, dan mendapati tiada halangan untuk melakukan transaksi pemindahan wang kepada syarikat tersebut,” katanya.

Pada pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili bekas perdana menteri Najib Razak, saksi mengesahkan sistem PCR adalah sistem pengesahan dalaman bank bagi mengesan sebarang ‘red flag’ berkaitan akaun tersebut.

Pada perbicaraan sebelum ini, mahkamah diberitahu akaun 11116073 adalah milik Good Star Ltd, syarikat yang pada mulanya dikatakan sebagai anak syarikat PSI tetapi kemudiannya didedahkan sebagai syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Sementara itu, Naib Presiden Bahagian Operasi Pasaran Global di bank sama (Deutsche Bank) Nur Hasnee Taha Mdd Nordin berkata sebanyak RM3.487 bilion dipindahkan 1MDB kepada Deustche Bank melalui lima transaksi Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (Rentas) pada 30 Sept 2009.

Saksi pendakwaan ke-21 itu berkata wang tersebut dipindahkan oleh 1MDB bagi tujuan transaksi penukaran mata wang asing dengan membeli AS$1 bilion (RM3.487 juta) di mana AS$700 juta kemudian dipindahkan ke RBS Coutts serta AS$300 juta didepositkan ke dalam akaun JP Morgan seperti yang diarahkan oleh 1MDB.

Nur Hasnee juga mengesahkan transaksi daripada 1MDB kepada Deutsche Bank pada 27 Mei 2011 dengan jumlah keseluruhan RM335.115 juta yang dipindahkan daripada akaun AmBank milik 1MDB, bertujuan untuk transaksi pertukaran wang asing bagi membeli mata wang Amerika sebanyak AS$110 juta.

Katanya ia kemudiannya dipindahkan ke akaun Bank JP Morgan Chase New York dan ke akaun RBS Coutts untuk dikreditkan ke nombor akaun 11116073 seperti yang diarahkan oleh 1MDB kepada Deutsche Bank.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 13 Jun.

-Bernama