Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Ketika masjid menjadi alat politik

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Jurugambar sebuah portal berita - bukan Malaysiakini - yang tekun merakam praktik penjarakan sosial di ruang solat masjid itu tiba-tiba disergah.

"Kamu Malaysiakini ke?"

Belum sempat jurugambar terbabit menjawab, ahli jawatankuasa masjid itu menyambung: "Kami tak bernarkan Malaysiakini ambil gambar di sini. Media DAP tu..."

Selepas menerima penjelasan si jurugambar, lelaki berusia 40-an yang berjubah, berkopiah dan berjanggut hitam barulah meredakan suaranya.

"Kalau media lain tak apa. Jangan DAP," katanya.

Kejadian spontan itu memang tidak memeranjatkan banyak pihak kerana sudah lama masjid dikaitkan dengan politik. Institusi agama yang sepatutnya bebas daripada fahaman kepartian akhirnya terjerumus di lembah ideologi siasah apabila ada pihak yang mempergunakan Islam untuk kepentingan peribadi dan kepartian.

Walaupun masjid tidak dibenarkan terpalit dengan sebarang kegiatan politik namun hal itu hampir-hampir tidak dipernah dipatuhi. Di sana sini, akan ada orang yang berhelah memperguna institusi agama - termasuk masjid - bagi kepentingan siasah mereka.

Apa yang berlaku di Kelantan dan Terengganu pada 1970-an kini terjadi di tempat lain apabila ada orang yang menggelarkan diri mereka ustaz menggunakan institusi agama untuk kepentingan sendiri.

Polemik kaum muda dan kaum tua

Dalam masyarakat Melayu pascafeudalisme, gelaran ustaz, haji, lebai, kiai dan wali dianggap begitu tinggi dan mulia. Di sesetengah tempat slogan seumpama itu menjadi 'lesen' untuk menjatuhkan hukum ke atas pihak lain.

Golongan terbabit menjadi neofeudalisme yang memperguna hukum atas urusan agama. Di beberapa kawasan golongan sama itu jugalah yang mencetuskan fahaman ekstrem dan ajaran sesat yang sebenarnya bukan bersumberkan Islam.

Ahli masyarakat yang tidak patuh kepada orang bergelar agamawan akan dianggap kafir, jahiliah, taghut dan munafik. Yang patuh membabi buta, taasub dan melulu kepada ustaz akan dianggap alim, insaniah serta diredai kelompok tertentu.

Dari situlah berlakunya amanat yang kononnya haram memakan haiwan sembelihan golongan lain yang mengutamakan perlembagaan sekular.

Sejak zaman berzaman polemik tentang kaum muda dan kaum tua sudah sebati di Nusantara. Hamka (1908-1981) misalnya dianggap kaum muda yang derhaka kepada perkesekitaran, agama dan adat semasa.

Hamka bukan sahaja dianggap murtad dan kafir, bahkan dipenjarakan beberapa tahun kerana fahaman yang dianggap baru kerana menentang kelaziman budaya dan adat di Indonesia.

Kerana terlantar dalam penjaralah dia melahirkan sembilan jilid kitab Tafsir al-Azhar pada dekad 1960-an. Kitab itu adalah huraian lengkap tafsiran ayat al-Quran yang kali pertama dihasilkan di Nusantara. Buku itu juga dianggap setanding kitab Tafsir Ibnu Katsir yang menjadi rujukan pusat pengajian Islam sejagat.

Di Malaysia pula pergeseran membabitkan institusi agama bukan kerana fahaman di antara golongan muda dan yang lama, tetapi ada pihak yang mempergunakan agama untuk kepentingan politik.

Bukan pertembungan fahaman

Isu kafir-mengkafir, pulau-memulau dan solat dua imam di kariah yang sama adalah berpunca daripada amalan memperguna agama untuk politik. Sehingga sekarang isu berkenaan berlarutan dan merebak di luar Pantai Timur Semenanjung.

Kita ucapkan syabas kepada pihak berkuasa agama di beberapa negeri kerana cekap menghidu golongan penyeleweng berkenaan. Beberapa nama penceramah terkenal yang lazim dengan gaya penyampaian ‘garang’ kini tidak lagi dibenarkan memberi kuliah agama di sekitar Selangor selepas tauliah mereka ditarik balik.

Walaupun negara ini hanya merdeka pada 1957, sebelum itu kita sudah ada institusi agama penting yang dikenali sebagai mufti. Tugas mufti ialah penasihat agama kepada sultan dan negeri.

Mufti bertanggungjawab memberikan pendapat dalam hukum-hakam dan mengeluarkan fatwa melalui badan tertentu.

Fatwa tidak boleh dikeluarkan oleh individu melainkan kata sepakat dicapai dalam sekumpulan cendekiawan Islam. Sejak awal 1900 muncul golongan kaum muda yang terkenal sebagai penggerak gerakan islah atau pembaharuan yang dipengaruhi oleh reformis dunia seperti Sayid Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh.

Di Nusantara pula, antara tokoh yang membawa pemikiran reformis ialah Syed Sheikh Al-Hadi dan Sheikh Tahir Jalaluddin di Tanah Melayu, serta Hamka dan bapanya, Sheikh Abdul Karim Amrullah atau Haji Rasul (Indonesia).

Mereka ditentang hebat oleh golongan ulama tradisional atau kaum tua. Kedatangan Haji Rasul ke Tanah Melayu pada 1916 ditentang ramai mufti kerana dituduh sesat dan Wahabi.

“Sebelum beliau datang telah keluar fatwa Syeikhul Islam (gelaran mufti) itu menyatakan bahawa akan datang ke mari seorang ulama yang sesat lagi menyesatkan, Wahabi, kaum muda, tidak percaya kepada ulama-ulama dan keluar dari mazhab Syafie.” – Hamka, Ayahku, m/s 160.

Beberapa ulama Tanah Melayu juga menghadapi masalah yang hampir sama. Syed Sheikh al-Hadi terpaksa menutup madrasah di Bandar Kaba, Melaka, selepas pemikirannya tidak dapat diterima oleh kaum tua. Malah dia juga diugut. Buku, karya dan majalah kaum muda turut dilarang.

Bagaimanapun apa yang berlaku sejak 50 tahun kebelakangan ini bukan kerana pertembungan fahaman di antara golongan tua dan muda. Ia bersumberkan kepentingan politik apabila ada pihak yang menggunakan agama untuk mencapai kuasa.

Golongan terbabit sanggup pergunakan ayat al-Quran dan hadis untuk mengaburi massa. Mereka bergerak di pondok, pusat tahfiz, masjid dan madrasah. Mereka kononnya melaksanakan usrah dan dakwah, tetapi pada masa sama memainkan isu negara Islam yang tidak terlaksana.

Revolusi Iran pada 1979 yang menjatuhkan regim monarki Mohammad Reza Pahlavi (26 Oktober 1919 – 27 Julai 1980) menjadi sumber ilham sesetengah golongan yang baru pulang dari Asia Barat. Mereka kagum kepada perjuangan Ayatollah Ruhollah Khomeini (17 Mei 1900 – 3 Jun 1989) yang dianggap pejuang Islam tulen selepas Nabi Muhammad.

Ketika itu Malaysia dan negara lain di Asia Tenggara bimbang terhadap pengaruh komunis. Vietnam Selatan yang demokratik tumbang dan disatukan sebagai sebuah negara Vietnam pro-Soviet Union.

Kemboja dan Laos pula tumbang kepada pemberontak komunis pro-China. Malaysia dan Indonesia kerap digegar serangan bom oleh gerila komunis tempatan. Filipina pula diancam oleh gerila Moro pimpinan Nur Misuari di kepulauan Mindanao.

Di selatan Thailand pula Barisan Pemisah Pattani kerap melancarkan serangan di kawasan bersempadan dengan Malaysia.

Suasana yang tidak menentu di Asia Tenggara pula menjadikan ideologi Revolusi Iran sebagai mantera oleh beberapa pihak untuk meracuni fahaman masyarakat. Gerakan Islam ditingkatkan dengan tujuan membantu siasah.

Revolusi Iran dicanangkan sebagai perjuangan menghapuskan perlembagaan sekular bagi digantikan dengan al-Quran. Tanpa mengambil kira latar belakang Syiah di negara Parsi, ustaz muda yang bergerak dalam politik tempatan tergamak mengkafirkan sesama saudara seagama sehingga terjadi keretakan dalam masyarakat.

Peristiwa berdarah di Lubuk Merbau dan tragedi Memali pada 1985 terjadi apabila bara serakah politik menjadi api yang membakar hangus persaudaraan .

Hari ini dunia sudah bebas daripada ancaman keganasan komunis, namun kita belum bebas daripada golongan yang memperguna agama untuk kepentingan peribadi.

Mereka bukan sahaja menjadikan pilihan raya secara sah untuk berkuasa, juga menggunakan masjid dan institusi pendidikan sebagai medan mencari pengaruh.

Dari situlah lahirnya ustaz dan ulama yang berwajah penceramah bebas, bebas ke mana sahaja sambil membawa agenda tertentu.

Apabila ada negeri mengharamkan ustaz selebriti berceramah di masjid, ia bukan bermakna isu yang memudaratkan ummah sudah berlalu. Ustaz berkenaan tidak lagi berceramah, tetapi sahabat dan sekutu mereka masih memegang kunci masjid.

Mereka adalah pihak pengurusan masjid yang setia memegang amanah parti bagi kepentingan jangka panjang.

Justeru apabila ada petugas media disergah kononnya mewakili media DAP memasuki masjid, kita tidak terperanjat. Banyak lagi kejadian seperti itu akan berlaku kerana inilah kita - Keluarga Malaysia!


IMLAN ADABI ialah sasterawan dan mantan penulis khas Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.