Skip to main
Logo Malaysiakini

Bon Odori: Dewan Ulama PAS pertahan kenyataan Idris

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dewan Ulama PAS Pusat menggesa orang Islam agar tidak menyertai festival Bon Odori yang diadakan di negara ini.

Gesaan itu sehari selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak menyekat program kebudayaan Jepun itu yang akan diadakan di Shah Alam pada 16 Julai ini.

Dalam satu kenyataan, ketuanya Ahmad Yahya berkata walaupun ada pihak berpandangan ia hanyalah acara kebudayaan Jepun, ia tetap tidak menyangkal bahawa ada unsur ritual Buddha di dalamnya.

"Prinsip ini selaras dengan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh para mufti, pengkaji agama serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

"Kesemua pendirian ini dinyatakan berdasarkan maslahah awam supaya tidak terjerumus kepada perkara yang boleh membawa kepada pelanggaran akidah," katanya dalam kenyataan.

Dia juga berkata pandangan acara itu hanyalah bersifat kebudayaan semata-mata "tidak cukup merit".


PANDUANKINI l Apa itu perayaan Bon Odori?


Sultan Selangor juga berpendirian, “banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama, tetapi tidak semestinya agama ada dalam budaya”.

Ia selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad menasihatkan umat Islam supaya tidak menyertai Festival Bon Odori atas dakwaan ia “perayaan Buddha Jepun bagi menghormati semangat nenek moyang mereka”.

Katanya kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati festival itu memang ada unsur-unsur keagamaan.

Dalam pada itu, Ahmad berkata Dewan Ulamak PAS turut mencadangkan agar kerajaan Kelantan tidak memasukkan tarian Bon Odori sebagai acara dalam Festival Kebudayaan Kelantan-Jepun.

Acara itu berlangsung pada 4 Jun lalu dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Abdullah.

"Di samping itu, badan-badan autoritatif agama di negara ini sewajarnya mewacanakan semula bentuk-bentuk perayaan dan festival dari dalam dan luar negara yang mempunyai kaitan dengan unsur keagamaan lain," kata Ahmad lagi.