Skip to main
Logo Malaysiakini

Kumpulan ibu persoal kelewatan proses permohonan warganegara anak

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sekumpulan ibu warganegara Malaysia hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya hari ini untuk mendapatkan perkembangan status permohonan mereka untuk anak kelahiran luar negara yang ingin mendapatkan kerakyatan di Malaysia.

Diketuai oleh Persatuan Sokongan Keluarga & Kebajikan, Selangor & KL (Family Frontiers), kumpulan itu meminta penjelasan daripada kerajaan mengenai percanggahan dalam proses permohonan untuk lelaki dan wanita Malaysia.

Ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada September 2021 yang mengisytiharkan bahawa wanita dan lelaki Malaysia mempunyai hak yang sama untuk memberikan kewarganegaraan kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Bercakap kepada pemberita di luar bangunan JPN, penyelaras utama Family Frontiers, Bina Ramanand mempersoalkan kelambatan pengisytiharan kewarganegaraan anak kelahiran luar negara kepada ibu Malaysia.

“Perintah mahkamah dengan jelas menyatakan bahawa ibu (warga Malaysia) dalam situasi yang sama harus mengikut proses yang sama seperti bapa (warga Malaysia).

“Ramai daripada mereka telah menyerahkan dokumen mereka sejak 31 Disember 2021, jadi kami tertanya-tanya mengapa perlu mengambil masa yang lama untuk mereka memproses.

"Semua ibu ini datang untuk menyemak status (permohonan mereka), dan ramai daripada mereka diberitahu bahawa ia akan mengambil masa (lagi) enam bulan," katanya.

Bina merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Sept tahun lepas, yang memutuskan, antara lain, bahawa wanita Malaysia (berkahwin dengan lelaki warga asing) mempunyai hak yang sama seperti lelaki Malaysia yang berkahwin dengan wanita asing untuk memberikan kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang pada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Dilaporkan, berikutan keputusan Mahkamah Tinggi itu, ibu-ibu Malaysia akhirnya berjaya mendaftarkan anak mereka sebagai warganegara di JPN.

Dalam satu kenyataan, Family Frontiers berkata walaupun keputusan Mahkamah Tinggi terpakai kepada "semua ibu Malaysia dalam situasi yang sama", hanya enam plaintif dalam kes itu telah menerima dokumen kewarganegaraan anak mereka yang dilahirkan di luar negara setakat ini.

“Adalah mengecewakan ibu-ibu lain yang terjejas yang telah menyerahkan dokumen mereka masih belum menerima dokumen kewarganegaraan anak mereka.

"Adalah menyedihkan bahawa KDN masih tidak mempunyai prosedur yang jelas dan konsisten di kalangan cawangan JPN dan Perwakilan Malaysia Luar Negara (MMO) dalam pemprosesan dokumen ibu-ibu Malaysia," katanya.

Pendaftaran kewarganegaraan kanak-kanak kelahiran luar negara di bawah umur 12 bulan adalah proses segera dan mudah sekiranya bapa mereka warganegara Malaysia.

Ibu Malaysia bagaimanapun tertakluk kepada permohonan mereka didaftarkan di JPN di Putrajaya untuk tempoh yang tidak ditentukan, kata Family Frontiers.

“Adalah menjadi kewajipan kepada kerajaan untuk melindungi rakyatnya sambil memastikan kebajikan mereka diutamakan.

"Kelewatan kerajaan dalam pengeluaran dokumen kewarganegaraan meletakkan wanita Malaysia dan anak-anak mereka dalam situasi yang tidak menentu, terdedah bahaya dan juga keganasan.

“Keperitan yang berpanjangan ini terus memaksa wanita untuk kekal dalam perkahwinan toksik dan menafikan akses yang sama rata kepada kanak-kanak kepada pendidikan awam dan penjagaan kesihatan yang berpatutan.

“Dengan mengambil kira cabaran dan perjuangan berterusan yang dihadapi oleh wanita Malaysia hasil daripada undang-undang kewarganegaraan yang mendiskriminasi jantina di Malaysia, kerajaan harus menepati ikrarnya di arena antarabangsa untuk menegakkan kesaksamaan wanita dan kepentingan terbaik kanak-kanak.

"Kerajaan boleh menghormati keputusan Mahkamah Tinggi atau memenuhi komitmen yang diumumkan secara terbuka untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan wanita Malaysia hak kewarganegaraan yang sama,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan sedang merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada September tahun lalu.

[Baca berita penuh]