Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiga wanita bersaudara lemas di Sungai Lata Changkah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kegembiraan tiga wanita termasuk dua beradik berkelah di Sungai Lata Changkah, Ulu Seladang di Setiu, Terengganu semalam berakhir dengan tragedi selepas terjatuh ke dalam sungai dan disahkan lemas selepas dibawa ke Hospital Setiu.

Ketua Polis Daerah Setiu DSP Affandi Hussin berkata mangsa adalah Syaridatul Nurfatihah Mohd Dera, 28 dan adiknya Syariatul Noor Safiqa, 26 yang berasal dari Kampung Hilir Maras di Kuala Nerus manakala seorang lagi mangsa iaitu sepupu mereka Siti Aishah Mazalan, 19, berasal dari Kampung Mengabang Telung, Kuala Nerus.

Katanya difahamkan kejadian berlaku apabila kesemua mangsa telah hampir selesai berkelah bersama keluarga pada sekitar 2.30 petang semalam sebelum salah salah seorang daripada mereka tergelincir lalu jatuh.

“Semasa jatuh mangsa telah menarik bersama-samanya dua orang lagi mangsa lain. Ketiga-tiga mangsa kemudiannya cuba diselamatkan orang awam sebelum dibawa ke Hospital Setiu kira-kira 45 kemudian.

Namun kesemua mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya hasil siasatan mendapati kawasan kejadian tersebut adalah terlindung dan tidak dapat dilihat dari tepi jalan serta agak bercerun.

Sehubungan itu Affandi menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati semasa berkelah di sungai dan sentiasa peka pada keselamatan serta mengelakkan tempat berisiko seperti kawasan yang dalam dan berarus deras.

- Bernama