Badan Peguam: Tukar hukuman banduan menunggu ke tali gantung
Presiden Badan Peguam Malaysia Karen Cheah Yee Lynn menyarankan kerajaan meneliti ke arah meringankan hukuman mati terhadap semua banduan yang kini menunggu untuk ke tali gantung.
Ini susulan keputusan Putrajaya menyokong pemansuhan hukuman mati mandatori, yang akan memberikan budi bicara hakim untuk mengenakan hukuman mati.
"Pada masa ini, terdapat moratorium pelaksanaan hukuman mati bagi banduan. Badan Peguam Malaysia menyeru kerajaan untuk bekerjasama dengan Lembaga Pengampunan bagi memastikan lebih 1,359 orang yang disabitkan kesalahan yang sedang menunggu hukuman mati juga dikecualikan daripada hukuman mati.
"Kami menyokong agar semua hukuman mati ditukar kepada hukuman penjara, setimpal dengan berat kesalahan yang dilakukan, dan mengambil kira faktor mitigasi dan keadaan tersendiri yang menyelubungi setiap kes.
"Hanya selepas itu barulah hukuman yang dikenakan adalah adil dan berkesan," katanya.
Cheah berkata keputusan kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori adalah satu langkah ke arah itu tetapi berkata Putrajaya harus bergerak ke arah pemansuhan sepenuhnya hukuman bunuh.
“Keputusan kabinet jelas betul dan satu langkah ke arah yang betul, tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memastikan pemansuhan sepenuhnya hukuman mati.
"Hukuman mati tidak mempunyai tempat dalam masyarakat yang menghargai kehidupan manusia, keadilan, dan belas ihsan; ia juga tidak menjamin masyarakat yang bertamadun dan selamat, tetapi menghakis kemanusiaan kita.
"Dalam masyarakat yang maju, tumpuan kita harus diberikan kepada pemulihan dan pembaikan, serta sangat sedikit (kesan) yang dapat dicapai dengan hukuman mati kecuali untuk memenuhi keperluan balas dendam," katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan bahawa kerajaan akan meminda 11 kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan satu di bawah Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati mandatori bagi memberikan budi bicara hakim memutuskan hukuman itu.
Bagaimanapun, Wan Junaidi (gambar, bawah) menambah, kerajaan masih belum menetapkan tempoh masa untuk pindaan itu.
Katanya, banyak bidang yang perlu diperhalusi termasuk cadangan penubuhan tribunal bagi mengkaji kes-kes yang sudah menjalani hukuman mati mandatori.
Dalam pada itu, Cheah berkata beban untuk menjatuhkan hukuman mati adalah besar kerana ia tidak meninggalkan margin untuk kesilapan manusia.
"Kami ambil perhatian bahawa tidak ada pengumuman mengenai sebarang garis masa atau apa-apa keluaran draf undang-undang terhadap perkara ini.
"Justeru, Badan Peguam Malaysia menyeru kerajaan untuk memperkenalkan undang-undang yang dipinda tanpa berlengah-lengah lagi.
"Sebarang kelewatan lanjut bermakna lebih ramai orang akan dijatuhi hukuman mati," kata Cheah.
"Badan Peguam Malaysia bersedia pada setiap masa penting, untuk memberikan bantuan dan komitmen kami kepada kerajaan bagi pembaharuan perundangan yang diperlukan untuk dibuat dalam jangka pendek, serta untuk merealisasikan objektif akhir pemansuhan sepenuhnya hukuman mati di Malaysia sebagai rancangan jangka panjang," jelasnya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai