Skip to main
Logo Malaysiakini

Imej satelit papar lombong di Perak dibina sebelum kelulusan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Timbul tanda tanya kenapa nampaknya kerja-kerja telah dimulakan di tapak di Hulu Perak dekat Gerik lebih setahun sebelum kerajaan meluluskan projek perlombongan nadir bumi.

Menteri Besar Saarani Mohamad pada 23 Mei berkata penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi projek itu telah diluluskan seminggu sebelum itu.

Bagaimanapun, imej satelit yang disemak oleh Malaysiakini mendedahkan perkara yang disyaki seorang aktivis alam sekitar adalah bukti operasi perlombongan yang sedang dijalankan di tapak tersebut.

Tapak ini telah diperuntukkan untuk perlombongan lantanida, iaitu 15 unsur kimia, biasanya dikenali sebagai nadir bumi, dan digunakan untuk membuat elektronik.

“Adalah dipersoalkan bagaimana operasi perlombongan boleh dimulakan sebelum laporan EIA diluluskan.

"Semakan di Peta Google (gambar, atas) menunjukkan sudah ada kerja tanah yang dilakukan dan struktur kolam penampungan mengumpul larutan di tapak projek yang dicadangkan," kata pegawai lapangan Sahabat Alam Malaysia Meor Razak Meor Abdul Rahman.

Kolam penampungan larutan digunakan untuk menyimpan larutan kimia dalam proses perlombongan.

Semakan lanjut Malaysiakini terhadap imej satelit lain (gambar, bawah) yang tersedia untuk umum mendapati tanda-tanda pembukaan tanah di tapak itu berlaku seawal Disember 2019.

Imej satelit selang masa di tapak itu dibuat dari September 2020 hingga Mei 2022. Setiap imej individu ialah "mozek tanpa awan" yang dipasang daripada berbilang imej yang diambil sepanjang bulan kalendar untuk mengurangkan litupan awan dalam imej berkenaan.

Kira-kira setahun kemudian pada Disember 2020, struktur jelas mula muncul pada gambar satelit di tapak berkenaan.

Imej-imej tersebut telah dirujuk silang dengan koordinat untuk projek yang disediakan dalam laporan EIA yang dipaparkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Projek itu terletak di koridor ekologi yang menghubungkan Hutan Simpan Kenderong dan Hutan Simpan Bintang Hijau yang menjadi rumah kepada hidupan liar terancam termasuk harimau Malaya.

Laporan EIA telah dipamerkan kepada umum pada Julai 2021 sebelum mendapat kelulusan JAS pada 11 Mei tahun ini.

Kemusnahan kekal habitat

Selain harimau Malaya, EIA menyatakan kawasan itu juga merupakan habitat kepada gajah Asia dan tapir Malaya.

Laporan EIA telah dipamerkan kepada umum pada Julai 2021 sebelum mendapat kelulusan JAS pada 11 Mei tahun ini.

Projek ini terletak di tapak garam semula jadi yang dikunjungi oleh gajah, tapir, dan beruang matahari.

Ia juga menyatakan bahawa pembalakan aktif telah pun berlaku di kawasan itu.

Kumpulan alam sekitar menentang projek itu kerana ia terletak di hutan teras Semenanjung Malaysia, Central Forest Spine (CFS).

Pegawai lapangan Sahabat Alam Malaysia Meor Razak Meor Abdul Rahman.

“EIA jelas menyatakan bahawa kerja tanah boleh menyebabkan kesan langsung dan tidak langsung kepada hidupan liar, terutamanya mamalia besar dan hidupan akuatik, dan boleh menyebabkan kepupusan spesies.

"EIA tidak menyediakan sebarang langkah mitigasi untuk mengatasi kehilangan habitat hidupan liar ini.

"Jadi ini bermakna kemusnahan habitat hidupan liar adalah kekal," kata Meor Razak lagi.

Central Forest Spine (CFS) merupakan hutan hujan tertua di Semenanjung Malaysia yang terdiri daripada empat kompleks hutan.

CFS ialah rangkaian koridor ekologi yang membolehkan hidupan liar bergerak dari satu kompleks hutan ke kompleks hutan yang lain. Ini membantu terutamanya untuk pemuliharaan spesies terancam dan hampir pupus.

Kawasan projek itu juga berada dalam Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 yang, mengikut Rancangan Fizikal Negara, merupakan kawasan yang tidak boleh digunakan untuk apa-apa tujuan kecuali pelancongan berimpak rendah, pendidikan dan penyelidikan sahaja.

Dianggarkan terdapat kurang daripada 150 harimau Malaya, 3,100 gajah liar, 1,500 tapir dan 500 ekor beruang matahari hidup di habitat semulajadi di Malaysia.

[Baca laporan penuh]